Jangan tunggu PRU, menteri PH digesa kerap turun padang

generic penyokong pakatan harapan PH
Pemuda Amanah berkata semua menteri PH perlu turun bertemu pimpinan dan ahli parti peringkat negeri dan Parlimen mendengar rungutan mereka.

PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) menggesa semua menteri daripada gabungan itu lebih kerap turun padang dan mendengar suara akar umbi jika mahu terus meraih sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, berkata masih ada menteri PH yang lebih banyak meluangkan masa bersama penjawat awam berbanding pimpinan dan ahli parti di peringkat negeri serta Parlimen.

“Semua menteri PH perlu turun bertemu pimpinan dan ahli parti di peringkat negeri dan Parlimen. Dengar rungutan ahli parti,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pucuk pimpinan PH juga perlu memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan dapat dirasai rakyat.

“Kerajaan Madani mampu membawa data yang cantik di atas kertas termasuk pertumbuhan KDNK, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), kadar inflasi terkawal dan lain-lain tapi rakyat tak merasai,” katanya.

Katanya, hubungan lebih rapat antara menteri, pimpinan dan akar umbi penting untuk mengukuhkan sokongan PH selain menangkis naratif berasaskan kaum dan agama.

Hasbie mengulas pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat dan Azmil Taib, PH bakal berdepan cabaran besar mempertahankan Pulau Pinang daripada gelombang kerjasama Barisan Nasional-Perikatan Nasional, selain sukar menambah majoriti kerusi dalam DUN.

Mereka menyarankan PH memberi tumpuan kepada agenda berteraskan rakyat bagi menangkis asakan kerjasama BN-PN.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fadzli Roslan, berkata PH masih mampu mempertahankan negeri tersebut meskipun berdepan cabaran BN-PN, tetapi tidak boleh terlalu selesa.

“Jangan hanya turun kepada rakyat ketika pilihan raya. Rakyat mahu melihat wakil rakyat dan pimpinan hadir ketika tiada pilihan raya, mendengar masalah, turun ke lapangan dan menjelaskan apa yang telah dilakukan,” katanya.

Fadzli turut menggesa PH memilih pemimpin dan calon berdasarkan kemampuan, rekod prestasi serta kesungguhan berkhidmat, bukan sekadar pertimbangan politik atau memenuhi kuota.

Katanya, PH juga perlu menawarkan naratif sendiri dan tidak hanya bertindak balas terhadap serangan BN-PN.

“PH tidak perlu takut dengan ‘gelombang biru’, tetapi perlu lebih takut jika rakyat mula merasakan kita sudah jauh daripada mereka.

“Yang menentukan kemenangan bukan sejarah atau ramalan penganalisis, tetapi kepercayaan rakyat,” katanya.

Author: admin