Pemimpin DAP bidas Hadi ‘ambil kerja tuhan, penghukum agama’

Sheikh Umar Bagharib Ali berkata cara politik Hadi Awang sangat berbahaya.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP menyifatkan Hadi Awang sebagai ‘penghukum agama’ dengan pendekatan politiknya didakwa berbahaya kerana seolah-olah menjadikan PAS itu Islam.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata presiden PAS itu tidak mengamalkan pendekatan disarankan tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudhaibi iaitu ‘nahnu du’at, la qudhah’ yang bermaksud ‘kita pendakwah, bukan penghukum’.

“Cara politik Hadi ni sangat berbahaya. Dia jadikan seolah-olah Islam itu PAS, PAS itu Islam dan dia bebas menghukum.

“Macam ambil kerja tuhan,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu menyusul dakwaan Hadi menerusi ‘Minda Presiden PAS’, DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu Islam.

Antara lain Hadi mendakwa, DAP yang mendominasi PH secara terbuka itu mendedahkan perjuangan sekularismenya yang ekstrem dan konsep ‘Malaysian Malaysia’ diperjuangkannya.

Sheikh Umar menegaskan menegaskan, DAP menyokong Perlembagaan Malaysia dan bergerak mengikut lunas yang turut memperuntukkan kedudukan Islam.

“Jika DAP menolak Islam, DAP pasti diharamkan sebab menolak apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau yang juga naib pengerusi DAP Johor berkata, kenyataan Hadi hanyalah permainan politik, terutama apabila dilihat mengubah pendirian mengikut perkembangan semasa.

“Nak faham pendekatan politik Hadi ni, bagi saya mudah saja. Tahun 1981 dia sudah mengkafirkan Umno. Rakyat berpecah. Solat dua imam.

“Suami isteri sampai terpaksa perbaharui lafaz nikah sebab yang sebelum itu dianggap tak sah. Daging sembelihan orang Umno tak dimakan sebab dianggap tak halal. Kafir-mengkafir melanda masyarakat.

“Tapi…baru 27 Julai lepas, bila dia nak ‘peluk Umno’, dia kata perbezaan Umno-PAS hanyalah khilaf. Perkara cabang. Nampak tak?” katanya.

Author: admin