Buktikan di mahkamah jika benar DAP ancam Melayu-Islam, pemimpin Amanah cabar Hadi

Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu berkata ada mekanisme undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap parti politik yang didapati melakukan perkara bertentangan Perlembagaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah mencabar PAS dan Presiden Hadi Awang mengemukakan bukti dan mengheret DAP ke mahkamah jika betul parti itu dan Pakatan Harapan (PH) jadi ancaman kepada Melayu Islam.

Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu, berkata PAS dan barisan kepimpinannya perlu membuktikan tuduhan tersebut bukan hanya retorik politik dan strategi membina ketakutan bagi merampas kuasa.

“Jika benar terdapat bukti bahawa DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan, atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti tersebut ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.

“Jangan hanya mengulang retorik murahan bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi khususnya pengikut dan kemudian rakyat yang termakan propaganda jahat sebegini,” katanya di Facebook.

Aiman Athirah berkata ada mekanisme undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap parti politik yang didapati benar-benar melakukan perkara bertentangan Perlembagaan.

Beliau juga mempersoalkan langkah PAS yang tidak mengambil sebarang tindakan termasuk mengharamkan DAP ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan pada 2020 hingga 2022.

“Mengapa ketika mempunyai ruang kuasa, PAS tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mengharamkan DAP? Mengapa tidak bawa bukti bahawa DAP melanggar Perlembagaan? Mengapa tidak menggunakan institusi negara untuk membuktikan dakwaan tersebut?

“Sebaliknya, sejarah politik menunjukkan hubungan PAS dengan DAP pernah berlaku dalam beberapa fasa politik, termasuk kerjasama dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Maka persoalannya adakah ancaman itu benar-benar wujud seperti didakwa atau ia hanya berubah mengikut kepentingan politik PAS,” katanya.

Hadi menerusi tulisan di ‘Minda Presiden PAS’ mendakwa, DAP memimpin PH menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu Islam.

Antara lain Hadi mendakwa, DAP yang mendominasi PH secara terbuka itu mendedahkan perjuangan sekularismenya yang ekstrem dan konsep ‘Malaysian Malaysia’ diperjuangkannya.

Author: admin