Wakil rakyat Tebrau bawa isu cukai kargo minyak ke Parlimen

YB Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah berkata kejelasan penting untuk mengembangkan sektor logistik petroleum dan maritim.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah akan membangkitkan persoalan mengenai ketidakpastian cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.

Beliau berkata perkara itu perlu mendapat penjelasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan pemain industri mempunyai kejelasan dan kepastian berhubung tanggungjawab cukai mereka.

“Sebarang ketidakpastian berkaitan cukai dalam perkara ini sememangnya membimbangkan. Justeru, saya berharap dan menggesa Kastam memberikan penjelasan yang lebih jelas kepada pemain industri.

“Kejelasan dan kepastian amat penting kepada perniagaan, khususnya ketika kita sedang berusaha mengembangkan sektor logistik petroleum dan maritim,” katanya dalam kenyataan.

Puah berkata beliau akan membawa perkara itu ke Parlimen bagi mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan cukai dalam pengendalian kargo minyak yang dicampurkan.

Beliau berkata sebagai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Ekonomi dan Kewangan, beliau turut akan menggesa jawatankuasa berkenaan memanggil pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan dan membincangkan penyelesaian terhadap isu itu.

“Saya juga akan menggesa jawatankuasa memanggil pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan serta mencari penyelesaian terhadap perkara ini,” katanya.

Menurutnya, penjelasan yang jelas daripada pihak berkuasa penting bagi memastikan pemain industri dapat menjalankan operasi mengikut peraturan yang ditetapkan, selain memberikan kepastian kepada pelabur dalam sektor logistik petroleum dan maritim.

Sebelum ini, pemain industri maritim membangkitkan isu berkenaan yang kemudiannya disusuli aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain gesaan penjelasan JKDM.

Media melaporkan aduan mereka yang mendakwa ketidakpastian berhubung perkara terbabit telah menjejaskan perniagaan perkapalan dan petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Difahamkan pelabuhan berkenaan mengendalikan kargo petroleum yang dipunggah dari kapal ke tangki darat ketika operasi pemindahan kapal atau ‘transhipment’.

Sebelum ini, timbul kebimbangan mengenai dakwaan minyak daripada konsainan berbeza dicampur dalam tangki darat selepas dipunggah dari kapal.

Tindakan itu didakwa boleh mengubah keadaan kargo dan menimbulkan masalah dalam klasifikasi, penilaian serta cukai jika dokumen tidak dikemas kini dengan betul.

Author: admin