
PETALING JAYA: Seorang wanita dan lima lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen serta Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan menculik, mengurung, menyamun dan mencederakan pasangan kekasih warga Singapura.
Sinar Harian melaporkan M Balamurugam, 46; K Saravanan, 40; P Sri Devi, 41; G Puganeswaran, 38; S Gobinath, 38; dan X Adwin Nicholas, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mereka didakwa secara bersama dengan niat menculik Al-Shameer B Abdul Nassar bagi meminta wang tebusan SGD20,000 (RM63,000) di depan sebuah gereja di No 22, Jalan Orkid, Skudai pada 2 petang 8 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berat itu tidak boleh diikat jamin.
Peguam K Veeranesh yang mewakili Sri Devi bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai enam anak berusia setahun hingga 22 tahun dan tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 bersama dua penjamin, selain syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sementara itu, Balamurugam, Saravanan dan Gobinath mengaku tidak bersalah di depan Hakim Madihah Zainol atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan seutas rantai leher emas serta jam tangan Rolex milik mangsa sama dalam sebuah kenderaan di sekitar Johor Bahru Utara kira-kira 2 petang 8 Ogos lalu.
Tiga tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, tetapi mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000.
Di depan Majistret A Shaarmini, enam tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melarikan warga Singapura, Zaylen Zayraelle Xie Manting dengan niat mengurung secara rahsia dan salah di Blok C-03-06, Pangsapuri Skudai Villa, Jalan Aman, Taman Skudai Baru serta beberapa lokasi lain antara 8 hingga 11 Ogos lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 365 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun serta denda.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, selain memerintahkan Sri Devi, Gobinath dan Saravanan menyerahkan pasport.
Dalam pada itu, Saravanan dan Puganeswaran didenda RM3,000 kerana mengaku bersalah mencederakan Al Shameer menggunakan pisau di Blok C-03-06, Pangsapuri Skudai Villa antara 10 pagi hingga 1 tengah hari 11 Ogos lalu.
Majistret Nurzihan Abdul Rehman turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Sept ini.
