
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis yang didakwa mengamalkan ‘layanan dua darjat’ berhubung dua kes membabitkan pemasangan Jalur Gemilang di Johor dan Terengganu.
Lim berkata seorang pengawal keselamatan warga Nepal serta wanita tempatan ditahan serta direman susulan kes pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Indahpura, Kulai.
Namun katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan tanpa bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), yang dikatakan berlaku akibat ‘kesilapan teknikal’.
“Kedua-dua individu berkenaan ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan, selain bendera serta jadual kerja mereka dirampas.
“Bendera dan jadual kerja dirampas, malah kedua-duanya diuji air kencing walaupun perkara itu langsung tidak berkaitan. Mereka tiada rekod jenayah dan ujian dadah juga negatif.
“Setakat maklumat yang diumumkan, tiada bukti bahawa mereka sengaja menghina bendera atau menyebarkan gambar tersebut. Namun, polis menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada rakyat biasa dikenakan tindakan lebih keras berbanding agensi kerajaan apabila berlaku kesilapan berkaitan Jalur Gemilang.
“Ketua Polis Negara Khalid Ismail mesti menjawab dengan fakta dan undang-undang, bukan alasan kosong. Polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi senyap apabila kecuaian melibatkan pihak berkuasa.
“Jika beliau gagal memberikan penjelasan yang masuk akal, beliau wajar meletakkan jawatan. Jika kes semudah kesilapan memasang bendera pun tidak mampu ditangani dengan adil dan waras, bagaimana beliau mahu memimpin pasukan polis menghadapi kes yang rumit seperti pembunuhan, rasuah, sindiket dan jenayah siber?” soalnya.
Sebelum ini dilaporkan, pengawal keselamatan dan wanita tempatan terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang di Indahpura, Johor yang memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada 10.45 pagi Isnin lalu selepas gambar bendera terbalik berkenaan tular di media sosial.
