Lee Chean Chung beri bayangan letak jawatan Ahli Parlimen PJ

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung Ahli antara Ahli Parlimen PKR yang disekat daripada mengakses portal MyKhas.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung memberi bayangan bahawa kawasan itu mungkin kehilangan wakil rakyat susulan kegagalan PKR mengambil tindakan terhadap beliau.

Lee antara Ahli Parlimen PKR yang disekat daripada mengakses portal MyKhas. Beliau juga antara Ahli Parlimen parti itu yang menghadiri pelancaran Bersama pada 17 Mei, yang diterajui bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketika berucap pada program Bersama di Padang Desa Menteri malam ini, Lee berkata beliau memberikan maklum balas kepada Lembaga Disiplin PKR.

“Saya menjawab dan meminta supaya diberikan satu hukuman yang sewajarnya. Kalau tidak sehaluan biarlah berpisah secara baik.

“Tetapi, kerana tiada tindakan daripada pihak mereka, kemungkinan besar di Petaling Jaya akan kehilangan seorang Ahli Parlimen,” katanya.

Lee berkata sekiranya Petaling Jaya kehilangan wakil rakyat, jangan menyalahkan mereka yang meletakkan jawatan, sebaliknya parti perlu dipersalahkan kerana gagal menjaga disiplin dan tatatertib.

Seorang lagi Ahli Parlimen yang menghadiri pelancaran Bersama, Wong Chen, baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang. Wong, yang turut disekat daripada mengakses portal MyKhas, kemudiannya meninggalkan PKR dan menyertai Bersama.

Lee turut mempertahankan keputusannya menghadiri program Bersama malam ini walaupun beliau bukan anggota parti tersebut.

“Jika anggota PKR boleh menghadiri program Umno dan sebagainya, mengapa saya tidak boleh hadir program di kawasan saya sendiri?”

Lee turut menyokong gesaan DAP supaya semua Ahli Parlimen diberikan peruntukan kawasan yang sama rata, tanpa mengira fahaman atau gabungan politik.

“Jika PH mahu mempertahankan agenda reformasinya, ia perlu memberikan peruntukan yang adil kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh rakyat.”

Pada Jun, Lee meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, badan pembuat keputusan tertinggi parti, seminggu selepas beliau kehilangan akses kepada MyKhas, iaitu portal yang menguruskan peruntukan Parlimen.

Bagaimanapun, ketika itu beliau berkata akan kekal sebagai anggota PKR dan terus berkhidmat di Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.

Author: admin