‘Apa masalah dia?’ Ahli Parlimen Sarawak bidas Ridhuan

Miri MP Chiew Choon Man and Ridhuan Tee
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (kiri) ingatkan Ridhuan Tee Abdullah bahawa negara asal sesebuah universiti tidak tentukan latar belakang kaum pelajarnya.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen dari Sarawak menyelar pendakwah Ridhuan Tee Abdullah berhubung kenyataannya yang disifatkan berbaur hasutan mengenai cadangan pembinaan kampus universiti dari China di negeri itu.

Chiew Choon Man mendakwa Ridhuan cuba mencetuskan ketegangan kaum apabila mendakwa pemimpin berbangsa Cina di Sarawak mendesak penubuhan ‘universiti Cina’ di Malaysia Timur serta mendakwa institusi sedemikian boleh menggugat perpaduan negara.

“Apa sebenarnya masalah dia?” soal Ahli Parlimen Miri itu, lapor Dayak Daily.

Selain mendakwa pemimpin Cina di Sarawak menuntut penubuhan universiti dari China, Ridhuan semalam turut mendakwa golongan pemimpin terbabit tidak berpuas hati setakat memperjuangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau pembinaan Kolej Universiti New Era.

Menjelaskan perkara itu, Chiew berkata, pembukaan universiti dari China tidak bermaksud ia dikhususkan untuk pelajar berketurunan Cina sahaja.

Tambahnya, universiti dari Australia, Jepun atau United Kingdom juga tidak terhad kepada warganegara atau latar belakang etnik tertentu.

“Negara asal sesebuah universiti tidak menentukan latar belakang kaum pelajarnya dan ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menimbulkan ketakutan,” katanya.

Timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya itu turut menegaskan, kepelbagaian budaya atau bahasa tidak akan menjadi penghalang kepada perpaduan.

“Perpaduan tidak akan tergugat hanya kerana sebuah universiti tersohor dunia berhasrat membuka kampusnya di Sarawak.

“Sebaliknya, perpaduan terjejas apabila kepelbagaian sengaja digambarkan sebagai ancaman, manakala ketakutan berasaskan kaum dan agama dieksploitasi demi meraih perhatian serta sokongan politik,” katanya menambah, hantaran berbaur hasutan boleh memburukkan lagi ketegangan antara kaum.

Teguran Chiew terhadap Ridhuan itu menyusul sehari selepas Adun Lembah Jaya daripada PKR Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad menyelar pendakwah terbabit kerana mempertikaikan penggunaan kain rentang berbahasa Cina bagi Festival Hantu Lapar di Ampang.

Syed Ahmad yang juga dikenali sebagai Altimet berkata, perbezaan budaya tidak wajar dijadikan modal untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Author: admin