Tiada penglibatan ‘orang dalam’ di KLIA, kata polis

Soal siasat polis ke atas pegawai kedua penerbangan yang ditahan di Indonesia tidak menunjukkan ada penglibatan orang dalam di KLIA. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis berkata pegawai kedua penerbangan yang ditahan di Indonesia kerana didakwa menyeludup lebih 26kg dadah bulan lalu bertindak solo untuk melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata siasatan awal mendapati tiada penglibatan ‘orang dalam’ di KLIA, lapor Buletin TV3.

Polis tidak mahu mendedahkan kaedah yang digunakan suspek untuk melepasi pemeriksaan bagi memastikan siasatan tidak terjejas.

“Hasil soal siasat, kita dapati tidak menunjukkan ada penglibatan orang dalam di KLIA, maksudnya dia kerja secara solo dari segi membolosi pemeriksaan itu,” katanya.

Polis menyoal warga Malaysia itu di Jakarta minggu ini, dan suspek memberikan maklumat mengenai beberapa sindiket di Malaysia dan di beberapa negara lain.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini berkata suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai selepas didapati memiliki lebih 70,000 pil ekstasi dan 2.7g methamphetamine.

Malaysia Aviation Group (MAG) berkata suspek ialah pegawai kedua yang tidak bertugas dan menaiki tempat duduk tambahan dalam kokpit sebagai pemerhati, bukan mengendalikan penerbangan itu.

Susulan kes berkenaan, MAG mengarahkan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang syarikat penerbangan di bawah kumpulan itu, bermula dengan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines.

Author: admin