Budak lelaki 7 tahun hilang jatuh sungai di Subang Jaya

budak lemas
Anggota melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, di Subang Jaya. (Gambar JBPM)

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, bersebelahan sebuah pasar raya, di Subang Jaya, malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.06 malam.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

“Berdasarkan laporan awal komander operasi, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira 6.30 petang ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya,” katanya dalam kenyataan.

Ashrul Riezal berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerusi kaedah pencarian di permukaan air kini giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pasukan penyelamat berdepan cabaran dalam operasi itu berikutan keadaan arus sungai yang agak deras.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam turut dipanggil bagi membantu operasi pencarian berkenaan,” katanya.

Author: admin