
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, meluangkan masa menziarahi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Fadillah sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan pintasan jantung minggu lalu, manakala Ismail menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) pada Jumaat bagi merawat masalah rentak jantung yang tidak normal.
Anwar berkata keadaan kesihatan Fadillah semakin baik, namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan. Ismail pula masih memerlukan pemantauan lanjut di IJN.
“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ismail dimasukkan ke IJN pada Khamis selepas mengalami masalah jantung ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan berhubung perbelanjaan dan pembiayaan inisiatif Keluarga Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2022.
Bekas Naib Presiden Umno itu juga pernah dimasukkan ke IJN kira-kira dua minggu lalu selepas terjatuh, susulan satu kejadian dimana jantungnya dilaporkan berhenti berdenyut selama kira-kira dua saat.
Ismail sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, namun prosiding tersebut ditangguhkan atas faktor kesihatannya.
