Adam Adli jumpa Rauf bincang kerusi PRN Melaka, kata Fahmi

fahmi fadzil, adam adli n rauf yusoh
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, berkata Ketua PKR Melaka Adam Adli memaklumkan sudah berlaku beberapa perbincangan bersama Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

KUALA LUMPUR: PKR Melaka sudah mengadakan beberapa perbincangan bersama Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berhubung persiapan menghadapi PRN, kata Fahmi Fadzil.

Ketua Penerangan PKR itu, berkata parti kini dalam persiapan mengenal pasti calon dan kerusi, selain mengadakan rundingan dengan semua pihak termasuk rakan dalam Barisan Nasional (BN).

“Persiapan di peringkat parti adalah mengenal pasti calon-calon, mengenal pasti kerusi, mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk rakan-rakan dari BN. Rauf telah menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana parti.

“Jadi ini kita terima dengan baik. Ketua PKR Melaka Adam Adli ada memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan beberapa perbincangan (bersama Rauf),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas di Petronas NPE Pantai Dalam.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan menghadapi PRN Melaka.

Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya masih membuka ruang rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk pertukaran kerusi, asalkan dibuat dengan jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi setiap parti.

Zahid berkata, prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

Mengulas perkara itu Fahmi menyambut baik keterbukaan BN berbincang mengenai perkara itu.

“Berbincang bukan hanya mengenai negeri Melaka, tapi juga untuk kerusi di peringkat persekutuan,” katanya.

Fahmi berkata, rundingan lanjut akan diserahkan kepada naib presiden Saifuddin Nasution Ismail, yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, serta Pengarah Pilihan Raya Amirudin Shari.

Author: admin