Mesra PAS tak bermakna Umno tutup pintu kerjasama PH, kata penganalisis

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Umno menjemput pimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri perhimpunan agungnya berlangsung dari 9 hingga 12 Sept.

PETALING JAYA: Hubungan Umno dan PAS yang semakin terbuka tidak semestinya menunjukkan Barisan Nasional (BN) sudah memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH) dalam kerjasama politik termasuk pada PRN Melaka, kata penganalisis.

Mujibu Muis.
Mujibu Abd Muis.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata langkah Umno menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 bulan depan lebih menggambarkan usaha parti itu memperluas pilihan politiknya.

Katanya, perkembangan itu belum cukup untuk dianggap sebagai petunjuk bahawa BN dan PN sudah mencapai persefahaman untuk bekerjasama pada pilihan raya negeri berkenaan.

“Jemputan Umno kepada PAS lebih tepat dilihat sebagai ‘political signalling’ dan usaha membuka ruang komunikasi. Ia belum bermaksud BN-PN sudah mencapai persefahaman untuk PRN Melaka.

“Namun, secara politik ia tetap penting kerana selepas pengalaman Johor dan Negeri Sembilan, Umno sedar PAS ialah antara pilihan yang boleh mengubah matematik pilihan raya, khususnya dalam konsolidasi undi Melayu.

“Jadi, jemputan ini lebih menunjukkan BN mahu mempunyai lebih banyak pilihan rundingan, bukan menutup pintu kepada PH,” katanya kepada FMT.

Mujibu mengulas perkembangan hubungan Umno-PAS selepas Umno memutuskan menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri PAU 2026, berlangsung dari 9 hingga 12 Sept.

Menurut Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, jemputan itu dibuat sebagai membalas undangan PAS kepada pemimpin Umno untuk menghadiri muktamar parti berkenaan dari2 hingga 5 Sept.

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata hubungan baik yang dipamerkan kepimpinan Umno dan PAS belum membuktikan kedua-duanya mampu bekerjasama ketika pilihan raya.

Katanya, ujian sebenar hanya akan muncul apabila kedua-dua parti mula berunding mengenai pengagihan kerusi dan cuba menyatukan jentera masing-masing.

“Kehadiran PAS di PAU sekadar mempamerkan imej perpaduan Melayu-Islam kepada masyarakat Melayu, tetapi belum diuji sepenuhnya.

“Kerjasama sebenar hanya akan dapat dilihat ketika pengagihan kerusi dan sejauh mana jentera kedua-dua parti boleh bekerjasama dalam pilihan raya,” katanya.

Azmil turut berpandangan kerjasama PH-BN di Melaka mungkin berdepan cabaran susulan kepercayaan yang semakin terhakis, terutama dalam kalangan akar umbi.

“PH perlu bersedia untuk bergerak sendiri dan fokus kepada kubu-kubu mereka,” katanya.

Author: admin