Kematian pelajar 14 tahun, siasat elemen ejekan perkauman, kata Kamil Munim

Kamil Munim
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, berkata kematian Keziah Nisha menimbulkan kebimbangan kebencian kaum mula menjadi sebahagian bahasa pergaulan pelajar di sekolah.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menyeru siasatan menyeluruh, telus, dan adil berhubung kematian pelajar 14 tahun, Keziah Nisha, yang menurutnya terkait dakwaan buli verbal, termasuk kata-kata berunsur perkauman.

Kamil berkata, semua kemungkinan perlu diteliti dan semua pihak didengari sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Saya menyeru supaya satu siasatan yang menyeluruh, telus, dan adil dilakukan. Teliti segala kemungkinan, dengarkan semua pihak, dan pastikan kebenaran dapat diketahui.

“Jangan kita anggap ejekan perkauman sebagai ‘budak-budak bergurau’. Jangan kita normalisasikan penghinaan sebagai perkara kecil,” katanya dalam catatan di Instagram.

Kamil berkata, kejadian itu juga perlu menjadi ruang untuk masyarakat bermuhasabah sekiranya kebencian berasaskan kaum mula menjadi sebahagian bahasa pergaulan pelajar di sekolah.

Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak belajar dan membesar, bukannya ruang belajar membenci orang lain berdasarkan warna kulit atau keturunan.

Kamil turut menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, dan orang ramai memandang serius isu buli, penghinaan serta rasisme dalam kalangan kanak-kanak.

“Anak-anak sedang belajar daripada dunia yang kita bina untuk mereka. Pastikan dunia itu mengajar mereka untuk menghormati manusia, bukan membencinya,” katanya.

Kematian Keziah, pelajar berusia 14 tahun yang bersekolah di Kuala Lumpur, mencetuskan kebimbangan awam berhubung dakwaan kemungkinan berlaku buli verbal termasuk unsur perkauman, dengan perkara itu masih menunggu siasatan lanjut.

Author: admin