Lebih 5,500 produk tak daftar termasuk ubat kurus dirampas di Kelantan

Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Kasuadi Hussin (tengah) bersama pegawai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi bersama produk tidak berdaftar yang dirampas dalam operasi hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan merampas 5,584 produk termasuk ubat kurus tidak berdaftar dengan anggaran nilai RM60,000 menerusi operasi penguatkuasaan hari ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Kasuadi Hussin berkata operasi menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) negeri dijalankan dengan kerjasama polis susulan aduan orang awam dan risikan yang dilakukan.

“Sebanyak sembilan premis diperiksa dengan tujuh daripadanya didapati memiliki 5,584 produk termasuk ubat kurus tidak berdaftar selain turut dirampas telefon bimbit dan komputer,” katanya pada sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKNK, Pengkalan Chepa.

Kasuadi berkata tindakan penguatkuasaan itu dijalankan terhadap penjualan produk tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual dan melanggar peruntukan Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.

Operasi itu sebahagian daripada usaha berterusan CPF membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran.

Beliau berkata siasatan lanjut diteruskan termasuk bagi mengenal pasti pemilik premis dan sumber produk itu.

Beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan penjualan ubat dan produk kesihatan yang meragukan melalui portal aduan SisPAA atau talian hotline 09-7730 586.

Author: admin