Kabinet mungkin bincang undang-undang peruntukan sama rata

dewan rakyat
DAP gesa wujud undang-undang wajibkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen agar budi bicara politik dalam pengagihan dana dapat dihapuskan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mungkin membincangkan cadangan penggubalan undang-undang khusus bagi memastikan peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen pada masa akan datang, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi bagaimanapun berkata, perkara yang dibangkitkan oleh pemimpin DAP itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Perdana menteri sudah maklum mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pasca-mesyuarat.

“Mungkin ia akan dibincangkan pada masa akan datang.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai desakan pemimpin DAP, terutamanya Gobind Singh Deo, agar perundangan diwujudkan bagi menjamin peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Gobind berkata, perundangan yang mewajibkan penyaluran dana sama rata kepada semua Ahli Parlimen akan menghapuskan budi bicara politik dalam pengagihan peruntukan pembangunan kawasan, sekali gus melindungi hak pengundi di seluruh negara.

Tambahnya, pemimpin DAP telah beberapa kali berbincang dengan Anwar mengenai ikrar Pakatan Harapan untuk memastikan peruntukan diagihkan secara adil kepada setiap Ahli Parlimen.

Pada 16 Ogos lepas, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, sambil menegaskan bahawa bantuan kepada rakyat perlu diutamakan tanpa mengira sama ada Ahli Parlimen atau kerajaan negeri menyokong beliau ataupun tidak.

Author: admin