3 sekeluarga maut dirempuh lori ‘Black Maria’ dikenal pasti

black maria accident
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, sebuah lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen tanpa muatan hilang kawalan dan melanggar 4 pejalan kaki di Jalan Sultan Ismail, selepas bertembung dengan sebuah kereta. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen di Jalan Sultan Ismail awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Zamzuri Isa berkata, selain tiga mangsa yang maut di tempat kejadian, seorang lagi mangsa terlibat, iaitu isteri Mohd Firdaus berusia 55 tahun sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Dua lelaki, iaitu pemandu lori dan pemandu Proton Saga masing-masing berusia 43 dan 50 tahun, yang turut terlibat dalam kemalangan itu direman sehari hingga esok bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, anak saudara mangsa Zaid Darfis berkata, pakciknya itu datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi ibunya di Semenyih, Selangor.

“Arwah sempat menghubungi ibu mentua saya untuk memberitahu keluarganya sudah tiba di Kuala Lumpur.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi,” kata Zaid, 39, lapor Bernama.

Tinjauan Bernama di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur mendapati ahli keluarga dan saudara mara mangsa sudah hadir.

Turut berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Hamsha Injau.

Difahamkan jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan di Jalan Pahang untuk diuruskan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, sebuah lori Isuzu ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen tanpa muatan, dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori itu.

Pertembungan itu menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author: admin