Tumpu halang Muslim berjudi, Ramkarpal beritahu Sanusi

Ramkarpal Singh daripada DAP beritahu Menteri Besar Kedah Sanusi Nor bahawa lesen operasi perjudian dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia tidak menyinggung sensitiviti orang bukan Islam di negara ini.

PETALING JAYA: Ramkarpal Singh daripada DAP menasihati Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menumpukan usaha menghalang umat Islam daripada berjudi, berbanding mencari jalan lain untuk mengharamkannya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Beliau sepatutnya menumpukan usahanya untuk mengenal pasti kaedah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu umat Islam yang menyertai aktiviti perjudian.

“Memandangkan isu perjudian berlesen secara jelas telah diselesaikan menerusi keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan, Sanusi sepatutnya menerima hakikat aktiviti perjudian sah di sisi undang-undang, justeru tiada sebab mencari jalan lain di sebaliknya.

“Keputusan mahkamah mengenai perkara itu jelas dan Sanusi sepatutnya patuh kerana ia bukan urusan beliau untuk mencari jalan bagi mengelaknya,” kata ketua biro undang-undang DAP itu dalam kenyataan.

Sanusi sebelum ini berikrar merujuk kepada penasihat undang-undang bagi mengelakkan tindakan hina mahkamah, Ramkarpal berkata menteri besar itu sepatutnya mencari jalan melengkapi keputusan mahkamah dan bukannya cuba mengelaknya.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkenaan turut mengingatkan larangan penuh terhadap perjudian hanya akan mendorong permintaan ke arah sindiket pasaran gelap serta platform dalam talian.

“Sanusi perlu menerima hakikat perjudian berlesen telah menjadi sebahagian kehidupan di Malaysia, dan lesen bagi operasi perniagaan berkaitan perjudian dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan memandangkan tidak menyinggung sensitiviti orang bukan Islam di negara ini.”

Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk membatalkan keputusan menghalang pentadbiran negeri daripada enggan memperbaharui lesen bagi pengendali pertaruhan dan loteri.

Author: admin