Asyraf nafi kaitan dengan pelaburan bermasalah TH dalam Al-Rawda

Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki selar usaha cemar reputasinya apabila beliau dikaitkan dengan isu salah urus di TH ketika menjadi timbalan menteri agama.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang suara dalam keputusan Tabung Haji (TH) ketika menjadi timbalan menteri agama, walaupun hadir pada majlis menandatangani perjanjian pada 2017 yang dikaitkan dengan pelaburan paling bermasalah agensi tersebut.

Satu gambar pada 2017 yang memaparkan Asyraf, pengerusi TH ketika itu Abdul Azeez Abdul Rahim, serta beberapa pihak lain yang terlibat dalam memeterai perjanjian lanjutan pajakan 10 tahun dengan Al-Rawda Real Estate Development and Project Management Co Ltd, tersebar di Facebook baru-baru ini.

Pada Selasa, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pengurusan kewangan TH dari 2014 hingga 2020 mendapati tujuh daripada 14 pelaburan dana jemaah haji itu bagi tempoh tersebut mencatatkan kerugian keseluruhan.

Amir berkata, kerugian terbesar berpunca daripada pelaburan TH dalam Al-Rawda, sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan projek yang berpangkalan di Arab Saudi.

“Bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji,” katanya dalam komen di media sosial, lapor Malaysiakini.

“Untuk pengetahuan, saya diminta menjadi ketua jemaah haji Malaysia pada 2017 menggantikan menteri. Kebetulan saya ada di Makkah, maka dijemput mewakili menteri menghadiri majlis tersebut.”

Asyraf berkata, timbalan menteri tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam operasi atau proses kelulusan TH.

Operasi agensi itu, katanya, dikendalikan oleh CEO dan pihak pengurusan TH, dipantau pengerusi dan lembaga pengarah, dengan hal-hal dasar utama akhirnya diputuskan oleh menteri agama.

Beliau berkata, ini menjelaskan mengapa RCI mahupun agensi penguatkuasaan tidak pernah memanggilnya untuk disoal siasat.

Berucap pada sidang khas membincangkan laporan RCI mengenai TH di Dewan Rakyat pada Selasa, Amir berkata, pelaburan itu melibatkan perjanjian pajakan dari 2015 hingga 2017 di mana TH membayar 1.4 bilion riyal Arab Saudi (kira-kira RM1.5 bilion), kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Makkah dan Madinah bagi menempatkan jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata, syarikat itu sepatutnya menguruskan keempat-empat hotel berkenaan dan membayar sewa sebanyak 2.49 bilion riyal kepada TH, namun bayaran tersebut tidak dibuat, manakala pelaburan besar itu hanya dijamin secara peribadi melalui nota janji hutang.

Al-Rawda gagal melunaskan bayaran sewanya bermula suku pertama 2019, yang akhirnya memaksa TH untuk mengiktiraf kerugian rosot nilai penuh berjumlah RM1 bilion pada 2024.

Author: admin