
PETALING JAYA: Seorang wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen Alor Setar kerana menganjurkan kumpulan wang kutu dengan jumlah terkumpul lebih RM1.7 juta, sejak tahun lalu.
Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Menurut Utusan Malaysia, hukuman terhadapnya belum diputuskan hari ini, sementara menunggu fakta kes pada 22 Sept ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu disertai 52 individu di mana setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai 2025 hingga Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau keduanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Sharmila tidak membenarkan sebarang jaminan walaupun Fahmi menawarkan RM100,000 untuk wang jaminan dan menyerahkan dokumen perjalanan termasuk pas sempadan.
Malah, Siti Zulaika juga tidak membuat sebarang rayuan terhadap jaminannya dan akan ditempatkan di Penjara Pokok Sena sementara menanti prosiding berikutnya.
Pada 4 Ogos, tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu oleh bapa wanita terbabit.
Kehilangan mereka didakwa akibat hutang permainan kutu yang dianjurkan dengan wanita tersebut, yang disyaki berperanan sebagai ‘ibu kutu’.
Dua hari kemudian, lelaki dan wanita berusia 39 serta 36 tahun itu menyerah diri apabila hadir ke Balai Polis Kubang Pasu.
