
PETALING JAYA: Penyatuan politik Melayu yang melibatkan Umno dan PAS mungkin mempunyai tarikan dari sudut pilihan raya di Semenanjung Malaysia, namun realiti politik Sabah dan Sarawak adalah berbeza, kata bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak.
Bendahari Umno Sabah itu, berkata sebarang persefahaman Umno-PAS yang mungkin berkesan di Semenanjung tidak semestinya sesuai diterapkan di Sabah.
Katanya, kerjasama itu boleh memberi kesan sebaliknya jika dilihat sebagai formula politik yang terlalu berpusatkan Semenanjung.
“PRN Sabah 2025 menunjukkan perkara ini dengan jelas. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 73 kerusi, manakala Warisan memperoleh 25 kerusi. Secara keseluruhan, dua kekuatan politik berteraskan Sabah ini menguasai 54 kerusi — hampir tiga perempat DUN.
“BN pula hanya memenangi enam kerusi, Perikatan Nasional (PN) satu kerusi dan Pakatan Harapan (PH) juga mengalami kemerosotan besar dengan hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.
“Ini menunjukkan bahawa sentimen kenegerian, autonomi, pembangunan dan hak-hak Sabah semakin penting dalam menentukan pilihan pengundi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Salleh berkata Sarawak pula memberikan gambaran yang lebih jelas apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengukuhkan kedudukannya melalui pendekatan politik yang berteraskan kepentingan Sarawak, sementara Umno tidak pernah bertapak di negeri itu.
Katanya, Umno Sabah seharusnya dilihat sebagai sebuah parti nasional yang memahami realiti Sabah dan bersedia bekerjasama dengan parti tempatan, khususnya GRS.
“Formulanya perlu jelas. Kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan Orang Sabah.
“Kita adalah satu negara, tetapi tidak semestinya memerlukan satu formula politik dan pilihan raya yang sama di setiap negeri,” katanya.
Kerjasama Umno dan PAS yang dibuat atas dasar penyatuan Melayu sebelum ini berjaya membawa kemenangan besar BN dan PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kedua-dua pemimpin Umno dan PAS juga melahirkan keyakinan kerjasama politik itu akan diteruskan dalam pilihan raya akan datang termasuk pada PRU ke-16.
