
BATU KAWAN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow akan menunggu keputusan kepimpinan pusat DAP berhubung penggubalan undang-undang bagi menjamin peruntukan dana pembangunan kawasan yang saksama, susulan gesaan sebuah pertubuhan masyarakat sivil.
Chow berkata, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo telah menghubunginya berhubung perkara itu.
“Perkara ini akan dibawa ke peringkat kepimpinan kebangsaan, jadi kami akan tunggu apa-apa keputusan daripada mereka,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM60,000 setahun kepada setiap Adun pembangkang di negeri itu.
“Kami sudah laksanakannya bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Sebagai perbandingan, setiap Adun kerajaan menerima peruntukan kawasan tahunan sebanyak RM500,000.
Pada Rabu, Projek Sama menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Selangor menggubal undang-undang sedemikian, dengan menyatakan bahawa kedua-dua negeri pimpinan Pakatan Harapan itu mampu melaksanakannya dengan kadar segera.
Menurut kumpulan itu, kedua-dua negeri berkenaan mempunyai majoriti yang selesa dan tidak berdepan kekangan rundingan antara gabungan parti yang boleh merumitkan reformasi pada peringkat persekutuan.
Katanya, langkah itu akan membuktikan bahawa PH bersedia melaksanakan di negeri-negeri yang ditadbirnya reformasi sama yang diperjuangkannya pada peringkat persekutuan.
Dalam manifestonya bagi PRU 2022, PH berikrar menyediakan peruntukan dana pembangunan kawasan saksama kepada semua Ahli Parlimen.
