
PETALING JAYA: Doktor yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah berdepan masalah kekurangan kuarters kediaman yang sesuai, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Pengerusi MMA Sabah Dr Brandon Patrick Senagang menggesa kerajaan persekutuan agar memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan asas kediaman serta langkah menjaga kebajikan petugas kesihatan di pedalaman.
Kuarters kakitangan perlu dilihat sebagai komponen penting dalam prasarana penjagaan kesihatan bagi membantu mengekalkan petugas perubatan dalam komuniti luar bandar, katanya.
Beliau berkata, kekurangan kuarters kakitangan yang sesuai berada pada tahap kritikal, dengan kuarters sedia ada sama ada dalam keadaan daif atau tidak dapat digunakan, lapor Daily Express.
Ketiadaan perumahan berhampiran memaksa segelintir pegawai perubatan berulang-alik jarak jauh, menambah keletihan fizikal, bebanan kewangan serta risiko kelesuan emosi (burnout), tambahnya.
Keadaan jalan raya yang teruk serta gangguan bekalan air dan elektrik yang kerap di daerah pedalaman turut memburukkan lagi keadaan hidup mereka.
Sehubungan itu, Brandon menuntut agar kuarters sedia ada dibaik pulih dengan segera, di samping memastikan perancangan klinik pada masa akan datang turut merangkumi penyediaan kediaman yang mencukupi.
Beliau berkata, pelaburan dalam perumahan yang selamat serta kemudahan asas yang stabil adalah penting bagi mengekalkan petugas kesihatan berdedikasi, seterusnya menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan jangka panjang untuk rakyat di kawasan luar bandar Sabah.
