Xeraya ambil langkah proaktif susulan kebimbangan mengenai ‘isu legasi’

Xeraya Capital
Xeraya Capital menguruskan pelaburan Khazanah Nasional dalam sektor sains hayat. (Gambar Xeraya Capital)

PETALING JAYA: Anak syarikat Khazanah Nasional, Xeraya Capital, berkata ia telah mengambil langkah-langkah proaktif serta memperkukuh proses pengawasan, susulan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai ‘isu legasi’.

Xeraya, yang ditubuhkan pada 2012, menguruskan pelaburan Khazanah dalam sektor sains hayat.

“Selaras dengan komitmen kami terhadap tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan, lembaga pengarah telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan serta memperkukuh proses pengawasan jika perlu,” menurut kenyataan.

“Lembaga pengarah kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Khazanah dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, serta bersedia memberikan kerjasama dan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang semakan, siasatan atau sesi libat urus yang mungkin diperlukan.”

Xeraya berkata ia akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk mengamalkan piawaian tertinggi dalam aspek tadbir urus dan pengurusan yang beramanah, demi kepentingan syarikat dan pihak berkepentingan.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan terhadap potensi ketidakaturan kewangan dalam Xeraya, menegaskan sebarang pelanggaran tatakelola mesti disiasat tanpa mengira siapa pengerusinya.

Anwar mendedahkan perkara itu timbul selepas Khazanah meneliti operasi masa lalu.

Khazanah berkata lembaga pengarah Xeraya, dalam melaksanakan tanggungjawab pengawasan tadbir urusnya, telah mengenal pasti ketidakaturan dalam dokumentasi berkaitan urus niaga terdahulu yang memerlukan semakan lanjut.

Author: admin