Semakan bebas bantu pulih keyakinan terhadap Malaysia, kata pemain maritim

oil tanker
Pemain industri mahu Malaysia mempertahankan reputasi dari dakwaan ia dikaitkan dengan peningkatan risiko pemindahan haram. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Malaysia wajar mempertimbangkan semakan bebas untuk menjawab dakwaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan aktiviti pemindahan muatan untuk memudahkan pengelakan tarif terutama yang mempunyai kaitan dengan China.

R Jeyenderan.
R Jeyenderan.

Pemain industri maritim, R Jeyenderan berkata semakan berasaskan fakta dapat membantu menjawab persoalan mengenai pergerakan serta asal-usul barangan yang dieksport melalui Malaysia.

“Malaysia mesti mempertahankan reputasinya tetapi pertahanan itu mesti bermula dengan fakta.

“Penafian membuta tuli tidak akan melindungi reputasi kita,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan laporan media menyatakan Malaysia diklasifikasikan negara Tier 2 dikaitkan dengan peningkatan risiko pemindahan haram.

Laporan bertajuk ‘The Great Transshipment Scam: Rise, Scope and Costs’ itu mendakwa Malaysia menjadi ‘mikrohab’ pengeluaran dan pintu masuk maritim.

Tetapi, laporan yang diterbitkan Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan Rumah Putih itu mengakui peralihan sumber import AS dari China tidak boleh dijadikan bukti semua perdagangan China yang terjejas telah dialihkan secara haram.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Rebecca Fatima Sta Maria dilaporkan The Edge bahawa Malaysia dilabel secara tidak adil oleh AS berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Jeyenderan berkata semakan itu mesti menelusuri keseluruhan pergerakan kargo, termasuk manifes, bil muatan, dokumen Kastam, sijil asal, rekod penyimpanan, sebarang aktiviti pencampuran atau pemprosesan serta pengisytiharan akhir sebelum eksport.

“Ini adalah prinsip yang sama yang kita bangkitkan melalui isu K8. Apabila wujud persoalan mengenai pergerakan kargo, dokumentasi, penyimpanan, pencampuran atau klasifikasi akhir, jawapannya tidak boleh sekadar ‘tiada kes’ tanpa menjelaskan apa yang diperiksa dan bagaimana kesimpulan itu dicapai.

“Metodologi dan penemuan perlu didedahkan kepada umum dengan melindungi maklumat komersial yang sah. Itulah cara keyakinan dapat dipulihkan,” katanya.

Author: admin