
PETALING JAYA: Seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan, termasuk menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya di Mahkamah Sesyen serta Majistret Johor Bahru.
Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu di depan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Majistret Nurzihan Abdul Rehman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.
Di depan Nor Aziati, pemilik restoran itu didakwa memiliki sebilah pisau sepanjang 8.5cm tanpa kebenaran sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar kira-kira 12.15 pagi Ahad lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.
Di depan Nurzihan pula, dia didakwa sengaja menghalang Lans Koperal Rahimi Ali menjalankan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita tempatan 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama pada 11.58 malam 15 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Peguam S Selvanteran dalam rayuannya berkata, tertuduh menanggung seorang isteri dan ibu uzur serta tiada pendapatan tetap.
“Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan mental, iaitu ‘major depression’ dan memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan,” katanya menurut Kosmo.
Dua mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dan kes akan disebut semula 25 Sept ini.
Dalam perkembangan sama, lelaki tempatan yang terbabit dalam pergaduhan tular di media sosial, G Thinesh Kumar, 28, mengaku tidak bersalah di depan Majistret A Shaarmini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap Lim menggunakan topi keledar di lokasi dan masa sama.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, diberikan jaminan RM5,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Sept ini.
