
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dalaman kes kematian pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha yang terkait dakwaan buli verbal, termasuk kata-kata berunsur perkauman diselesaikan segera.
Fadhlina berkata segala perkara yang menjadi kebimbangan awam termasuk berkaitan buli dan unsur perkauman mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera berasaskan fakta serta proses yang sewajarnya.
“Hari ini, saya mengarahkan jemaah nazir, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada polis serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan perkara ini ditangani secara menyeluruh,” katanya di Facebook.
Katanya, dalam masa yang sama, perhatian dan sokongan sewajarnya turut diberikan kepada keluarga, murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.
Menurutnya, pihak keluarga telah diberikan sokongan psikososial oleh pasukan kaunselor KPM manakala guru-guru diberikan penerangan berkaitan proses siasatan dan perundangan yang sedang berlangsung, di samping memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus diberikan perhatian.
“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan kepada semua pihak dan mengambil langkah yang wajar supaya persekitaran pendidikan kekal selamat dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku buli serta diskriminasi,” katanya.
Kematian Keziah, pelajar berusia 14 tahun yang bersekolah di Kuala Lumpur, mencetuskan kebimbangan awam berhubung dakwaan kemungkinan berlaku buli verbal termasuk unsur perkauman, dengan perkara itu masih menunggu siasatan lanjut.
Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menyeru siasatan menyeluruh, telus, dan adil berhubung kematian pelajar itu.
Katanya, semua kemungkinan perlu diteliti dan semua pihak didengari sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Kamil berkata, kejadian itu juga perlu menjadi ruang untuk masyarakat bermuhasabah sekiranya kebencian berasaskan kaum mula menjadi sebahagian bahasa pergaulan pelajar di sekolah.
