
PETALING JAYA: Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Halim Aman untuk berkongsi perkembangan terkini siasatan terhadap dakwaan aktiviti ‘mafia korporat’.
Gobind, yang juga menteri digital, berkata Jemaah Menteri mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu pada Mac lalu. Beliau berkata, tempoh masa yang mencukupi telah berlalu untuk polis dan SPRM menyiasat dakwaan berkenaan.
Gobind turut mahu Khalid dan Halim menyatakan sama ada individu-individu yang mungkin dapat membantu dalam siasatan, seperti ahli perniagaan Victor Chin, telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Untuk rekod, Chin menafikan penglibatannya dalam aktiviti ‘mafia korporat’ pada Mac lalu. Pengarah eksekutif MMAG Holdings Bhd itu berkata penggunaan ‘taktik mafia’ untuk memaksa pengambilalihan sememangnya wujud, tetapi menegaskan bahawa beliau merupakan mangsa, bukannya pelaku gerakan sedemikian.
“Rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan semasa perkara ini dan apakah langkah konkrit yang akan diambil seterusnya bagi menangani isu ini,” kata Gobind dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa mereka mendedahkan bila siasatan itu mungkin diselesaikan.
“Perkara ini merupakan isu berkepentingan awam yang besar dengan implikasi antarabangsa yang ketara yang akan menjejaskan keyakinan pasaran, menjadikannya isu nasional yang menuntut tindakan segera dan tegas,” katanya.
Satu laporan Bloomberg pada awal tahun ini mendakwa pegawai SPRM merupakan sebahagian daripada ‘mafia korporat’ yang menyediakan perkhidmatan ugutan seperti serbuan untuk menekan eksekutif perniagaan supaya menjual saham mereka.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki, berkata dakwaan tersebut tidak berasas.
