Suspek bakar pekerja nombor ramalan diberkas

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata suspek akan direman hari ini selepas ditahan semalam di Kepong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lelaki disyaki membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong akan direman hari ini dengan dendam peribadi dipercayai menjadi motif kejadian, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus.

Fadil berkata, suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan di Kepong, semalam.

“Polis akan memohon reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah dendam peribadi berkaitan nombor ramalan.

“Suspek dan mangsa dipercayai tiada hubungan persaudaraan, namun saling mengenali antara satu sama lain,” katanya menurut Berita Harian, di IPK Kuala Lumpur.

Fadil berkata, mangsa yang terbakar 50% tubuh badan, masih menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan sedang ditidurkan, sejak kejadian 9 Ogos.

Dilaporkan, mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Author: admin