Nahas maut lori Imigresen: Kertas siasatan dirujuk AGC esok

Zamzuri Isa
Ketua JSPT Kuala Lumpur Zamzuri Isa berkata, pengarah pendakwaan KL cadang kertas siasatan dirujuk kepada ketua unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, AGC di Putrajaya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen yang menyebabkan tiga sekeluarga maut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan pertuduhan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Zamzuri Isa berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti kertas siasatan kes.

“Setelah meneliti kertas siasatan, pengarah pendakwaan negeri (Kuala Lumpur) mencadangkan supaya kertas siasatan dirujuk kepada ketua unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, AGC di Putrajaya.

“Kertas siasatan itu akan dibawa sendiri oleh pengarah pendakwaan bersama pegawai penyiasat pada 20 Ogos (esok) bagi tujuan pertimbangan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, sebuah lori Isuzu ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen tanpa muatan, dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, terbabas selepas bertembung dengan sebuah Proton Saga di Jalan Sultan Ismail.

Lori itu kemudian melanggar empat pejalan kaki serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Akibat pelanggaran itu, tiga sekeluarga, iaitu Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, maut di tempat kejadian.

Selain tiga mangsa yang maut, seorang lagi mangsa terlibat, iaitu isteri Mohd Firdaus berusia 55 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Susulan kejadian, dua lelaki, iaitu pemandu lori Imigresen dan pemandu Proton Saga, masing-masing berusia 43 dan 50 tahun, direman sehari hingga esok bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author: admin