Jelaskan bagaimana gabungan GST-SST akan dilaksana, kerajaan diberitahu

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 memaklumkan bahawa kerajaan terbuka mengkaji keperluan menggabungkan ciri GST dan SST bagi menambah baik sistem percukaian negara.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Wawasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana gabungan ciri cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan.

Wan Fayhsal berkata perubahan dasar sebesar itu tidak seharusnya dilakukan secara ‘cuba-cuba’ berikutan potensi kesan yang akan dialami oleh pengguna dan perniagaan.

“Kerajaan tidak boleh sekadar berkata mahu mengambil ‘yang terbaik daripada kedua-dua sistem’. GST dan SST mempunyai struktur yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.

“Jika kedua-duanya mahu digabungkan, orang awam dan komuniti perniagaan berhak mengetahui mekanisme, kadar cukai, skop barangan dan perkhidmatan, ambang pendaftaran serta bagaimana kredit cukai input akan dikendalikan.”

Wan Fayhsal berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah berdepan pelbagai perubahan seperti e-Invois, selain perlu menanggung peningkatan kos bahan mentah, utiliti, tenaga, logistik dan gaji.

Sebarang sistem cukai baharu akan menambah kos, daripada perisian dan latihan kakitangan hingga yuran perakaunan serta pengubahsuaian proses penginvoisan, katanya.

“Itulah sebabnya kerajaan mesti membentangkan kajian impak dan penilaian kos pematuhan sebelum mengumumkan hala tuju dasar baharu. Jangan umumkan slogan dahulu dan fikirkan pelaksanaannya kemudian,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 memaklumkan bahawa kerajaan terbuka mengkaji keperluan menggabungkan ciri GST dan SST bagi menambah baik sistem percukaian negara.

GST, iaitu cukai penggunaan berbilang peringkat, diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% sebelum kadar sifar dikenakan pada Jun 2018.

Ia digantikan dengan SST pada September 2018, selaras dengan manifesto pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menerajui kerajaan.

Kerajaan berulang kali menolak gesaan untuk mengembalikan GST, dengan Kementerian Kewangan sebelum ini berkata perkara itu hanya akan dipertimbangkan selepas gaji median rakyat Malaysia melebihi RM4,000.

Wan Fayhsal turut mempersoalkan mengapa elemen GST diperlukan sekiranya kerajaan menganggap SST sebagai sistem yang lebih bersasar.

“Rakyat tidak memerlukan satu lagi nama baharu untuk cukai. Mereka memerlukan kestabilan dasar, kepastian kadar, sistem yang mudah dipatuhi serta jaminan bahawa perubahan cukai tidak akan meningkatkan kos sara hidup,” katanya.

Wan Fayhsal berkata tanpa butiran jelas mengenai sistem, kadar cukai dan kajian impak, orang awam mempunyai alasan untuk melihat cadangan itu sebagai satu lagi ‘cukai Madani’ pada nama sahaja.

Author: admin