Bersih gesa kerajaan gubal kerangka perundangan jamin peruntukan sama rata

bangunan parlimen
Bersih kemuka cadangan kepada kerajaan berhubung peruntukan pembangunan kawasan bagi mengelakkan isu itu menjadi senjata politik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menggubal kerangka perundangan bagi menjamin semua Ahli Parlimen diberi peruntukan pembangunan kawasan (CDF) berdasarkan prinsip kesaksamaan dan ketelusan.

NGO proreformasi, Bersih, dalam membuat gesaan ini juga menyeru kepada pengagihan berasaskan bukti menerusi formula yang telus dan termaktub dalam undang-undang.

“Dana awam berkenaan perlu diperuntukkan menerusi undang-undang bagi memastikan pengagihannya dibuat secara adil, telus dan berasaskan peraturan,” kata Pengerusi Faisal Abdul Aziz, mengulas permintaan DAP kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menyediakan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, dan menggubal undang-undang bagi menjamin pemberian secara kekal.

Bersih menambah dengan mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem pengagihan dana awam berasaskan formula, tanpa mengambil kira afiliasi politik atau perbezaan pendirian dalaman parti.

Faisal Abdul Aziz.

Pada masa sama, Bersih mencadangkan kerajaan menyediakan garis panduan terperinci dan pekeliling berkaitan CDF yang boleh diakses oleh orang ramai, sebagai amalan tadbir urus yang baik.

“Ini penting untuk mengelakkan isu peruntukan menjadi senjata politik oleh sesiapa yang menjadi kerajaan,” kata Faisal.

Dalam pada itu, Bersih menyeru kerajaan pusat dan semua kerajaan negeri mencontohi kerajaan Perak yang memberi peruntukan sama rata kepada semua Adun tanpa mengira parti politik.

“Tapi lebih baik ia dikanunkan dalam undang-undang untuk menjawab isu-isu seperti ini,” katanya.

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo.

Semalam, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo berkata DAP berulang kali menyampaikan kepada perdana menteri mengenai janji Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan semua Ahli Parlimen menerima peruntukan yang sama.

Katanya, undang-undang yang mewajibkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen akan menghapuskan unsur budi bicara politik dalam pengagihan peruntukan pembangunan kawasan serta melindungi hak pengundi.

Dua minggu lalu, kumpulan masyarakat sivil Projek Sama menggesa PH, yang menerajui kerajaan persekutuan, menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan pembangunan kawasan yang sama kepada semua wakil rakyat yang dipilih.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Saya rasa inilah peluang untuk Anwar membuktikan komitmen terhadap reformasi,” kata penganalisis, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Syaza mengingatkan bahawa Perikatan Nasional sekian lama meminta peruntukan sama rata, maka gesaan DAP memberi peluang untuk mendorong reformasi tersebut.

“Ia sangat penting bukan sahaja untuk reputasi Pakatan Harapan menjelang PRU16 tetapi juga bagi memastikan wujud padang permainan yang sama rata dalam politik Malaysia,” katanya.

“Ia juga boleh menormalisasikan hubungan antara kerajaan dengan pembangkang, yang tidak semestinya sentiasa menjadi musuh sehingga membawa kepada politik yang ekstrem.”

Author: admin