Bekas CEO UBB Investment Bank mengaku tak salah tuduhan tipu RM139 juta

Gavel
Razlan Raghazli didakwa mengetahui bahawa jadual pembayaran berkenaan bercanggah dengan nasihat yang diberikan oleh sebuah firma guaman. (Gambar Pexels)

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah bank pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pinjaman RM139.9 juta kepada sebuah syarikat pengurusan universiti swasta.

Bekas CEO UBB Investment Bank Limited, Razlan Raghazli, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa menipu Aida Aizura Othman, 52, yang merupakan pengarah urusan dan CEO syarikat induk bank berkenaan, UBB Amanah Bhd, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa jadual pembayaran di dalam surat UBB Investment Bank Limited adalah selaras dengan nasihat guaman.

Tindakan Razlan itu didakwa menyebabkan Aida melepaskan pinjaman RM139.9 juta kepada Elmu Higher Education Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di UBB Investment Bank di Desa Sri Hartamas di sini pada September 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Azura membenarkan Razlan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober untuk sebutan semula kes.

Peguam Azamuddin Abdul Aziz mewakili Razlan manakala Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan hadir bagi pihak pendakwaan.

Dalam kes berasingan, seorang pengarah syarikat yang sebelum ini didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM10.55 juta, berdepan 10 pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan RM13.5 juta.

Norliza Tajuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Beliau didakwa menerima wang berkenaan ke dalam akaun bank miliknya antara 31 Mac 2021 hingga 7 November 2022 di dua cawangan bank di Bangsar dan Setiawangsa.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah wang yang didakwa terlibat.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 29 Oktober untuk pengurusan kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes pengubahan wang haram Norliza dibicarakan bersama kes CBT yang dihadapinya.

Pada Mei lalu, Norliza dan seorang lagi tertuduh, tokoh kewangan Islam terkenal, Daud Bakar, mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan CBT berjumlah RM10.55 juta.

Norliza diwakili peguam M Gobinath hari ini manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar hadir bagi pihak pendakwaan.

Author: admin