Polis tahan suspek simbah petrol, bakar warga emas

jasni zolpa
Pemangku Ketua Polis Sentul Jasni Zolpa berkata satu sidang media mengenai tangkapan itu akan diadakan esok. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat menyimbah petrol dan membakar seorang wanita warga emas di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, awal bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Sentul Jasni Zolpa mengesahkan tangkapan tersebut namun tidak memberikan butiran lanjut, lapor Bernama.

“Ya, suspek sudah ditahan dan sidang media akan diadakan esok,” katanya.

Dalam kejadian pada 9 Ogos lalu, wanita berusia 62 tahun itu cedera selepas disimbah dengan cecair dipercayai petrol dan dibakar di premis berkenaan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Mangsa yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan melecur kira-kira 50% pada badannya.

Susulan kejadian itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya suspek.

Author: admin