
KUALA LUMPUR: Pakar berpendapat peluang Lembaga Tabung Haji (TH) mendapatkan keseluruhan award timbang tara berjumlah 899 juta riyal (kira-kira RM978 juta) daripada Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd (Al-Rawda) adalah rendah, dengan usaha mendapatkan semula baki itu banyak bergantung kepada kejayaan menjejak dan menguatkuasakan aset syarikat atau penjamin peribadi.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Iqbal Noor, berkata kemenangan dalam prosiding timbang tara tidak semestinya menjamin jumlah yang diperintahkan untuk dibayar dapat dipulihkan sepenuhnya.
“Isu utama pada peringkat ini ialah sama ada pihak bertanggungjawab mempunyai aset mencukupi, boleh dikenal pasti dan dikuatkuasakan bagi memenuhi award tersebut,” katanya kepada Bernama.
Daripada jumlah award 899 juta riyal yang diperintahkan untuk dibayar, hanya 14.9 juta riyal atau kira-kira 1.7% diterima setakat ini, manakala usaha mendapatkan semula baki jumlah itu bergantung kepada keupayaan Al-Rawda dan pihak berkaitan memenuhi award berkenaan.
Menurutnya, dalam transaksi bernilai tinggi, pelabur lazimnya memerlukan perlindungan kewangan kukuh seperti cagaran aset dan jaminan bank, manakala nota janji dan jaminan peribadi berfungsi sebagai perlindungan tambahan.
Beliau berkata, sekiranya sesuatu transaksi diteruskan tanpa jaminan bank dan ketika proses penilaian belum lengkap, keadaan itu boleh menunjukkan kelemahan ketara dalam tadbir urus serta proses membuat keputusan pelaburan.
“Apabila risiko telah dikenal pasti, tetapi mekanisme kawalan tidak berfungsi, mekanisme tersebut dikira gagal dalam proses membuat keputusan.
“Dalam konteks tadbir urus kewangan, isu utama kini bukan sekadar keuntungan atau kerugian pelaburan, tetapi sama ada risiko telah dikenal pasti, dinilai dan diberikan pertimbangan sewajarnya sebelum keputusan pelaburan diluluskan.”
Justeru, Iqbal berkata, prosedur operasi standard bagi pelaburan luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu menetapkan proses penilaian berperingkat sebelum pelaburan diluluskan.
Jelasnya, penilaian dari aspek risiko, undang-undang dan komersial perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum dana disalurkan, manakala syarikat penerima dana perlu menyediakan jaminan daripada institusi kewangan kukuh atau cagaran aset bernilai setara.
“Penyaluran dana pula perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian prestasi ditetapkan. Pendekatan ini membolehkan tindakan awal diambil, sekiranya prestasi pelaburan mula merosot.
“Sebarang pengecualian daripada syarat ditetapkan perlu melalui tahap kelulusan lebih tinggi, dengan justifikasi direkodkan secara jelas.”
Mengenai kedudukan kewangan TH berkaitan pelaburan Al-Rawda, katanya, rosot nilai penuh bernilai RM1 bilion yang dibuat pada 2024 menunjukkan TH telah mengambil pendekatan konservatif dengan mengambil kira kemungkinan kerugian terhadap aset itu.
Bagaimanapun, Iqbal berkata, rosot nilai penuh tidak bermakna TH perlu menghentikan usaha mendapatkan semula tuntutan itu dan selagi terdapat kemungkinan aset boleh dikesan serta dikuatkuasakan, usaha pemulihan perlu diteruskan.
“Pendekatan TH pada masa ini boleh dianggap munasabah, iaitu tidak lagi menganggap jumlah tersebut pasti akan diterima, tetapi pada masa sama terus berusaha mendapatkan semula sebanyak mungkin melalui penjejakan dan penguatkuasaan terhadap aset masih boleh dikenal pasti.”
Beliau berkata, kerajaan wajar mewujudkan mekanisme semakan bebas yang telus dan kukuh bagi memperkukuh proses penilaian pelaburan dalam persekitaran kewangan semakin kompleks.
Tetapi, mekanisme itu tidak semestinya memerlukan penubuhan agensi baharu.
“Mekanisme penilaian risiko lebih telus, bebas dan berintegriti penting bagi mengurangkan risiko pelaburan, khususnya bagi transaksi luar negara yang bernilai besar.
“Penilai juga perlu mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan, undang-undang antarabangsa dan industri berkaitan.”
