Lebih 2,000 individu sukarela dapat rawatan dadah

saifuddin nasution ismail
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yakin jumlah individu terjebak dadah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan akan terus meningkat. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,145 individu secara sukarela mendapatkan rawatan sejak Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dikuatkuasakan pada Ogos tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, 1,401 individu menjalani rawatan komuniti manakala 744 lagi menerima rawatan institusi, sekali gus menunjukkan perkembangan positif penguatkuasaan akta tersebut.

“Ini petunjuk tentang keberhasilan apabila kita pinda akta ini, kita menarik mereka yang terlibat untuk datang dan serah diri untuk dirawat.

“Angka ini dalam tempoh setahun, tentu menunjukkan hasil yang membanggakan dan saya percaya masih ada ruang untuk meningkatkan angka ini,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada majlis itu, Saifuddin Nasution turut melancarkan Pelan Strategik AADK 2026-2030 serta Unit Dron AADK yang akan memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan dadah di negara ini.

Akta 283 berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025 membolehkan penangkapan, akses rawatan dan pemulihan diambil terhadap penyalahgunaan bahan larangan selain dadah termasuk gam dan ketum.

Akta itu memperluas akses rawatan dan pemulihan selaras dengan pendekatan kesihatan awam dan pemulihan menyeluruh.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, selain individu yang tampil secara sukarela, sebanyak 23,317 orang yang disyaki (OYDS) turut direkodkan, selain 1,109 penyalah guna ketum dikesan sejak akta itu berkuat kuasa.

Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus memberikan tumpuan kepada aspek pencegahan dan penguatkuasaan selain memperkukuh elemen rawatan serta pemulihan dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah.

Author: admin