
PETALING JAYA: Kerjasama Barisan Nasional-Perikatan Nasional kali ini berpotensi lebih kukuh dan stabil jika kedua-dua gabungan menyusun perancangan serta agenda bersama sejak awal, kata Hamzah Zainudin.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, kerajaan terdahulu membabitkan BN dan PN terbentuk tanpa perancangan awal menyebabkan parti terlibat sukar membina kepercayaan antara satu sama lain.
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak dirancang. Sebaliknya, persefahaman terbaru antara BN dan PN memang dirancang. Apabila ada perancangan dan agenda yang betul, saya fikir ia akan berjaya,” katanya dalam temu bual FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa rakyat perlu percaya kerjasama BN-PN kali ini berbeza dengan terdahulu, di mana kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang pada 2021, manakala kerjasama tidak diteruskan selepas pentadbiran Ismail Sabri Yaakob berakhir dengan pembubaran Parlimen pada 2022.
Hamzah menyamakan kerjasama politik itu dengan penubuhan sebuah syarikat, yang memerlukan semua pihak menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing sejak hari pertama.
Ketua pembangkang berkata, kerjasama kali ini juga perlu berlandaskan matlamat bersama untuk membangunkan negara dan memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat.
Menurutnya, matlamat itu membolehkan kedua-dua gabungan merancang dasar ekonomi dan pendidikan secara tersusun, selari agenda ‘Reset’ diperkenalkannya.
“Banyak perkara dalam negara ini perlu diatur semula. Kita perlu duduk bersama, merancang, membetulkan perkara tidak betul dan menentukan masa depan lebih baik untuk semua sejak hari pertama,” katanya.
Kerjasama terbaru BN-PN diterjemahkan menerusi pakatan pilihan raya pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu apabila kedua-duanya memenangi 25 daripada 36 DUN.
Kerjasama tak boleh ‘pilih-pilih’
Pada masa sama, Hamzah berkata perancangan awal itu perlu merangkumi formula pengagihan kerusi yang diterima kedua-dua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada PRN Melaka, yang dijangka diadakan bila-bila masa memandangkan penggal DUN bakal berakhir hujung Disember ini.
Katanya, BN dan PN mesti melihat gambaran lebih besar dengan mengambil kira kekuatan serta kelemahan masing-masing di setiap negeri.
“Kalau kita nak bekerjasama, biarlah kerjasama kita ini bukan hanya pilih-pilih. Kita perlu fikir dari segi keseluruhan negara, bukan hanya negeri Melaka,” katanya mengulas pendirian BN yang mahu mempertahankan semua 21 kerusi dimenanginya pada PRN 2021.
Timbalan pengerusi PN berkata, keinginan sesebuah parti untuk mempertahankan kerusi disandang adalah perkara biasa, tetapi pendirian terlalu tegas akan menyukarkan kedua-dua pihak mencapai jalan tengah.
Beliau berkata, hujah sama boleh digunakan PN kerana pada PRU15 gabungan itu berjaya memenangi tiga daripada enam kerusi Parlimen di Melaka, manakala BN tidak memenangi sebarang kerusi.
“Akhirnya, tidak ada lagi perasaan untuk bekerjasama di negeri lain,” katanya.
Justeru, Hamzah berkata BN dan PN perlu sedia berkompromi secara timbal balik, termasuk memberi ruang di sesebuah negeri sebagai balasan kepada kerjasama di negeri lain.
“Kalau kita hanya melihat kedudukan kita hari ini, sudah tentu kita mahu mempertahankannya supaya tidak ada orang lain boleh mengambil alih.
“Tetapi kalau kita melihat matlamat lebih besar, kita perlu duduk, berkompromi dan bertolak ansur,” katanya.
Hamzah berkata, terdapat banyak negeri yang Umno tidak mempunyai kerusi, juga perlu diambil kira jika kerjasama BN-PN mahu dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, prinsip penyandang boleh dijadikan asas pengagihan kerusi, tetapi ia perlu ditambah baik menerusi formula hibrid yang lebih fleksibel.
Menurutnya, formula itu perlu memberi keyakinan kepada pemimpin dan penyokong BN serta PN di seluruh negara, bukan hanya memenuhi kepentingan pihak tertentu di Melaka.
Beliau turut menyambut baik kesediaan pemimpin tertinggi BN berbincang mengenai kerjasama pada masa depan.
“Ini adalah sesuatu yang baik dan sepatutnya diambil kira oleh semua pihak,” katanya.
