Kamu tak boleh puaskan hati semua, kata Nurul Izzah

Nurul Izzah Kongres PKR 2026
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, menang timbalan presiden PKR pada pemilihan parti pada Mei lalu.

HANG TUAH JAYA: Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang bakal bercuti daripada jawatan itu hari ini menepis kritikan dilemparkan terhadapnya sejak kalah pada PRU 2022 (PRU15).

Nurul Izzah berkata, ada pihak menganggap kekalahannya di kerusi tradisi keluarga di Permatang Pauh tidak boleh diterima, manakala kemenangannya sebagai timbalan presiden tahun lalu turut menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

“Bagi sesetengah orang, adalah tidak boleh diterima apabila saya tewas pada 2022 (PRU15). Bagi sesetengah orang pula, adalah tidak boleh diterima bahawa saya menang pada 2025 (pemilihan parti) dan bagi yang lain, mereka hanya tidak dapat menerima bahawa saya akan pergi pada 2026.

“Kamu tidak boleh memuaskan hati semua orang,” katanya ketika merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Nurul Izzah, merupakan Ahli Parlimen tiga penggal, tumpas di Permatang Pauh pada PRU15 kepada calon PAS, Fawwaz Jan, yang menang dengan kelebihan 5,272 undi.

Permatang Pauh dianggap kerusi tradisi keluarga Presiden PKR Anwar Ibrahim. Ia dipegang Anwar, disusuli isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan anak perempuan mereka, Nurul Izzah, sejak 1982.

Nurul Izzah menang timbalan presiden PKR pada Mei lalu, mengambil alih peranan daripada Rafizi Ramli yang kemudiannya meletak jawatan sebagai menteri ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan. Beliau keluar PKR tidak lama selepas itu dengan mengambil alih ‘Bersama’ bersama bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Minggu lalu, PKR mengumumkan Nurul Izzah akan bercuti sementara daripada tugasannya sebagai timbalan presiden parti selepas berlangsungnya kongres parti.

Beliau mengambil keputusan melepaskan jawatannya sebagai orang nombor dua parti bagi melanjutkan pengajiannya.

Author: admin