
AYER KEROH: PKR digesa menangani keresahan orang Melayu serta Islam dengan membina keyakinan, bukannya membiarkan ruang itu diisi pihak lawan dengan naratif berasaskan ketakutan.
Ketua Pemuda Kamil Munim berkata kekalahan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu diterima dengan hati terbuka, kerana keputusan itu menunjukkan sebahagian rakyat masih belum yakin politik yang dibawa benar-benar memahami kebimbangan mereka.
“Kita tidak wajar menyalahkan rakyat kerana membuat pilihan yang tidak memihak kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Pemuda PKR, sempena kongres nasional PKR tahun ini, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Tugas kita bukan mempertikaikan kebijaksanaan mereka, tetapi memahami sebab di sebalik pilihan tersebut dan mencari jalan untuk meraih kembali kepercayaan mereka.”
Kamil berkata politik berasaskan prestasi sahaja belum tentu mencukupi untuk mengatasi politik identiti dan ketakutan, terutama apabila lawan politik berjaya membina naratif Melayu dan Islam sedang terancam.
Katanya, naratif sedemikian tidak menggambarkan keadaan sebenar negara, namun menyentuh emosi individu yang resah tentang kedudukan orang Melayu dan Islam.
“Kita perlu memahami perkara ini sebelum kita mampu mengatasinya. Jangan kita menghina orang Melayu yang bimbang tentang kedudukan mereka dan jangan memperlekehkan orang Islam yang mahu melihat agama mereka dihormati,” katanya.
Kamil berkata keresahan mengenai bangsa dan agama perlu didengar dan dijawab dengan politik matang.
“Jika kita meninggalkan ruang itu kosong, akan ada pihak yang mengisinya dengan ketakutan. Jika kita tidak memberikan keyakinan, akan ada pihak yang menjual kebimbangan,” katanya.
Beliau berkata PKR perlu membuktikan identiti Melayu dan Islam boleh dipertahankan menerusi dasar yang adil dan berkesan, tanpa menutup peluang kepada kaum lain.
“Keyakinan Melayu tidak akan hilang hanya kerana negara ini berlaku adil kepada semua, bahawa Islam tidak menjadi lemah hanya kerana masyarakat menghormati kepelbagaian,” katanya.
Kamil berkata mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera tidak bermakna peluang kaum lain perlu dinafikan, sebaliknya negara yang adil kepada semua mampu memperkukuh kedudukan Melayu dan Bumiputera.
“Ini perbezaan antara politik ketakutan dengan politik keyakinan. Politik ketakutan memerlukan musuh untuk terus hidup. Politik keyakinan membina kekuatan daripada ilmu, prestasi, keadilan dan keupayaan,” katanya.
