
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah syarikat pemaju yang sedang dalam proses pembubaran agar membayar lebih RM1.3 juta kepada sepasang suami isteri setelah rumah mereka di Cheras rosak semasa pembinaan projek komersial 29 tingkat.
Pesara polis Adnan Azizon dan isterinya, pesara guru Aziah Ahmad terpaksa berpindah bersama empat anak mereka dan menyewa kediaman lain selama 10 tahun selepas kerja-kerja cerucuk dan penggalian bagi Monteno Sovo Suites menyebabkan keretakan serta kerosakan struktur pada rumah mereka, lapor The Edge.
Dalam penghakiman bertarikh 24 April yang dimuat naik dalam talian bulan ini, Hakim Gan Techiong memerintahkan pemaju Fame Modulation Sdn Bhd, melalui pembubarnya, dan DBKL, supaya membayar ganti rugi sebanyak RM1.279 juta dan kos RM100,000 kepada pasangan tersebut.
Jumlah itu merangkumi RM300,000 bagi ganti rugi am, RM160,000 untuk kos sewa, dan RM819,000 bagi perbelanjaan pembaikan serta pemindahan.
Gan berkata, pemaju sebelum ini telah berjanji untuk membaiki rumah itu tetapi gagal berbuat demikian, sekaligus memaksa pasangan itu mengambil pinjaman Bank Rakyat bagi membiayai kos pembaikan.
“Bagi pasangan berusia 60an yang menyara hidup dengan pencen kerajaan, dibebani dengan pinjaman yang besar untuk membaiki rumah mereka merupakan satu tanggungan yang berat,” katanya dalam penghakiman setebal 46 muka surat itu.
Gan berkata, DBKL telah memberhentikan projek itu buat sementara waktu tetapi membenarkannya disambung semula tanpa langkah keselamatan yang mencukupi, walaupun menyedari risikonya.
Beliau menolak hujah DBKL bahawa tuntutan pasangan itu terhalang oleh had masa dan sepatutnya dikemukakan melalui semakan kehakiman.
“Defendan boleh dipertanggungjawabkan secara bersama dan berasingan apabila perbuatan salah mereka saling berkait rapat,” katanya.
“Kerosakan itu tidak boleh dibahagikan, dan setiap defendan bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan kerugian tersebut tanpa mengira tindakan individu mereka.”
Tambahnya, Mahkamah Persekutuan juga telah mengesahkan bahawa liabiliti bersama dan berasingan boleh diguna pakai walaupun perbuatan itu berlaku pada waktu yang berbeza.
Gan turut menolak kebergantungan DBKL terhadap Seksyen 95(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, menyatakan bahawa kecuaian pihak terbabit mewajarkan kelewatan pembaikan rumah tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan pasangan tersebut untuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, atas alasan plaintif tidak sepatutnya mendapat pampasan lebih daripada kerugian sebenar mereka.
Cheow Wee, yang mewakili pasangan itu bersama Zachary Yeo daripada Tetuan Cheow Wee & Mai, mengesahkan keputusan tersebut dan memaklumkan bahawa pihak defendan telah memfailkan rayuan.
Wilson Lim daripada Tetuan Wilson Lim mewakili Fame Modulation, manakala Hisham Nan daripada Tetuan Haris Salleh & Co bertindak bagi pihak DBKL.
