
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan tiga langkah baharu bagi peniaga di ibu negara, termasuk permit bulanan RM30 bagi setiap set meja dan kerusi ditempatkan di kaki lima.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, berkata penambahbaikan itu terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat, tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.
“Permohonan boleh dikemukakan di pejabat cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi dan kelebaran kaki lima,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kelulusan tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki dan akses untuk pengguna kerusi roda serta operasi kecemasan tidak dihalang.
Peraturan terdahulu menetapkan pengusaha restoran dan kafe perlu membayar RM20 hingga RM50 bagi setiap meja sebulan serta deposit keselamatan sehingga RM10,000, bergantung kepada bilangan meja.
Hanya perniagaan berlesen dengan permit diluluskan dibenarkan meletak meja dan kerusi di kawasan ditetapkan, tertakluk kepada had ketat dari segi saiz, penempatan serta waktu operasi.
Yeoh berkata, permit untuk kerja kecil tidak membabitkan perubahan struktur bangunan, seperti menggantikan jubin atau siling, hanya perlu menyerahkan borang untuk memaklumkan DBKL.
“Penambahbaikan ini bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja berisiko rendah tanpa menjejaskan keperluan pematuhan dan keselamatan.”
Jelasnya, premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas langkah pembersihan menyeluruh dilaksanakan.
Tetapi, katanya, pembukaan semula tertakluk kepada pemeriksaan dan pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan serta keselamatan makanan telah dipenuhi.
Tegasnya, tiga penambahbaikan itu diperkenalkan selepas libat urus pejabatnya dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud dan wakil Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tiga penambahbaikan ini sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses tidak perlu dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur.”
