
PETALING JAYA: Ketua whip pembangkang Takiyuddin Hassan, yang mengetuai tindakan keluar Dewan selepas Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul enggan menangguhkan sidang khas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), turut mempersoalkan cara kandungan laporan itu didedahkan kepada umum.
Setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata lazimnya sesebuah laporan RCI perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu di bawah terma embargo sebelum didedahkan kepada umum.
“Namun, bagi kes RCI TH, laporan tersebut didedahkan kepada umum terlebih dahulu ketika PRN Negeri Sembilan, sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
“Langkah terbalik ini jelas menunjukkan bahawa perbahasan di Dewan Rakyat kini tidak lagi mempunyai perbezaan ketara berbanding perbahasan di luar Parlimen, melainkan jika perdana menteri hadir secara langsung untuk mempertahankan laporan tersebut di hadapan wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin berkata pembangkang menegaskan bahawa institusi Parlimen tidak boleh dijadikan sekadar tempat ‘penerangan sehala’ tanpa ruang perbahasan dan penentuan dasar yang bermakna demi kepentingan pencarum TH dan integriti kewangan negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjalani pembedahan laparoskopi elektif semalam bagi merawat hernia abdomen, menyebabkan PN meminta sidang khas itu ditangguhkan.
Terdahulu, Takiyuddin berkata perbahasan tanpa kehadiran Anwar akan menyebabkan sidang khas itu tidak lebih sekadar sidang media, kerana perdana menteri yang mencetuskan isu berkenaan tidak berada di Dewan Rakyat untuk menjawab dan menggulung perbahasan.
Bagaimanapun, Johari berkata persidangan akan diteruskan kerana Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi serta menteri-menteri lain hadir untuk mewakili Jemaah Menteri.
Laporan RCI tersebut dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai, kira-kira empat tahun selepas suruhanjaya itu menyelesaikan siasatannya pada Julai 2022.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata beliau kecewa kerana tiada usul akan diluluskan dalam sidang khas hari ini, yang menurutnya hanya melibatkan menteri memberi penerangan mengenai tindakan yang telah diambil setakat ini.
“Menteri bersyarah beritahu apa yang dia dah buat. Ahli Parlimen bertanya dan menteri jawab. Habis setakat itu sahaja. Baik panggil sidang media sahaja, wartawan tanya dan menteri jawab.
“Kita tidak mahu macam itu. Kita nak ada usul. Bila ada usul, ada undian. Ada undian ada keputusan untuk kerajaan ambil tindakan. Itulah fungsi Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan berasingan.
