
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan sebuah syarikat pengedar kereta mewah untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula tuntutan insurans RM1.5 juta susulan kemalangan membabitkan sebuah Ferrari.
Panel tiga hakim dipengerusikan Nordin Hassan memutuskan Bespoke Motoring Sdn Bhd gagal memenuhi syarat bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendapat kebenaran merayu.
Kebenaran itu hanya diberikan jika sesuatu kes membangkitkan persoalan undang-undang atau Perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam.
Jika permohonannya dibenarkan, Bespoke mahu Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memihak kepadanya.
Turut bersidang ialah Ahmad Terrirudin Salleh dan P Ravinthran. Bespoke diperintahkan membayar kos RM50,000 kepada AmGeneral Insurance Bhd.
Keputusan itu bermakna penghakiman Mahkamah Rayuan pada 9 Feb lalu, yang membenarkan AmGeneral menolak tuntutan berkenaan, kekal berkuat kuasa.
Kes itu berpunca daripada kemalangan pada 5 Okt 2018 membabitkan Ferrari milik Bespoke yang diinsuranskan pada nilai RM1.79 juta.
AmGeneral pada mulanya menawarkan penyelesaian RM1,505,250, tetapi kemudian menolak tuntutan selepas rakaman CCTV menunjukkan pemandu Ferrari itu memandu melawan arus bagi satu jarak yang agak jauh, perkara penting yang tidak didedahkan dalam borang tuntutan.
Syarikat insurans itu berhujah kegagalan mendedahkan perkara berkenaan melanggar kewajipan pemegang polisi untuk memberikan maklumat penuh, terus terang dan jujur ketika mengemukakan tuntutan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memihak kepada Bespoke dan menganugerahkan kira-kira RM1.5 juta. Bagaimanapun, pada 9 Feb 2026, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan AmGeneral dan mengetepikan keputusan itu.
Dalam alasan penghakimannya, Mahkamah Rayuan mendapati kegagalan mendedahkan tindakan pemandu terbabit adalah perkara penting dan melanggar kewajipan pemegang polisi untuk bertindak dengan penuh niat baik.
Bespoke kemudian memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan persoalan undang-undang mengenai kesan tawaran penyelesaian bersyarat AmGeneral dan sama ada syarikat insurans itu boleh menolak tuntutan selepas mengetahui tuntutan berkenaan mengandungi maklumat palsu.
Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah, Lim Yvonne dan Mishand Patmanathan mewakili Bespoke, manakala Cyrus Das, JS Naicker dan Sabreena Sidhu mewakili AmGeneral.
