7 daripada 14 pelaburan bermasalah TH rugi 100%

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan pada persidangan khas Dewan Rakyat hari ini mengenai laporan RCI Tabung Haji.

KUALA LUMPUR: Tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan kewangan Tabung Haji (TH) berakhir dengan kerugian keseluruhan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat.

RCI itu meneliti pengurusan dana jemaah haji bagi tempoh 2014 hingga 2020. Amir berkata, 14 pelaburan berkenaan mengakibatkan kerugian hampir RM13 bilion. Kerajaan menanggung RM10.2 bilion menerusi usaha menyelamat pada 2018, manakala TH menyerap RM2.6 bilion lagi antara 2018 hingga 2025.

“Tujuh daripada 14 pelaburan mengalami kerugian 100%. Bukan sebahagian, tetapi keseluruhannya,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI itu.

Amir berkata kerugian berkenaan bukan semata-mata disebabkan keadaan pasaran, dengan sebahagian urus niaga diteruskan walaupun proses usaha wajar tidak mencukupi, perlindungan yang lemah serta amaran daripada pegawai TH sendiri.

Kerugian terbesar berpunca daripada pelaburan TH dalam Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd, sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan projek yang berpangkalan di Arab Saudi.

Amir berkata pelaburan Al-Rawda melibatkan perjanjian pajakan antara 2015 hingga 2017, yang menyaksikan TH membayar 1.4 bilion riyal Arab Saudi, atau kira-kira RM1.5 bilion, kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Makkah dan Madinah bagi menempatkan jemaah haji Malaysia.

Katanya, syarikat itu sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel berkenaan dan membayar TH jumlah sewaan sebanyak 2.49 bilion riyal Arab Saudi, namun bayaran itu tidak dibuat, manakala pelaburan besar berkenaan hanya dijamin melalui nota janji peribadi.

Al-Rawda gagal membuat bayaran sewa bermula suku pertama 2019, yang akhirnya menyebabkan TH mengiktiraf kerugian rosot nilai penuh berjumlah RM1 bilion pada 2024.

Amir turut menyentuh pembelian 30% pegangan dalam Putrajaya Perdana oleh TH pada 2014 bernilai RM193.5 juta. Bahagian penyelidikan TH sendiri menilai pegangan itu antara RM124 juta hingga RM155 juta, namun katanya tiada justifikasi bertulis bagi harga lebih tinggi yang dibayar.

Beliau berkata panel pelaburan TH telah mengarahkan pengurusan menentukan pemilik sebenar Cendana Destiny, syarikat yang menjual 30% pegangan Putrajaya Perdana kepada TH.

Amir berkata semakan pada 2023 mendapati tiada rekod sebarang maklum balas, namun urus niaga bernilai RM193.5 juta itu tetap diteruskan.

Beliau berkata audit forensik terhadap projek kapal peronda luar pesisir yang dikaitkan dengan TH Heavy Engineering menemukan ketidakaturan berjumlah RM48.1 juta, manakala satu lagi ketidakaturan yang berkemungkinan melibatkan RM195 juta masih dalam siasatan.

Hanya satu daripada tiga kapal berkenaan telah siap, manakala kos untuk menyiapkan dua lagi kapal akan menyebabkan kerajaan menanggung tambahan RM310 juta.

Amir turut berkata TH telah mendahulukan USD178.6 juta kepada pembeli sebuah ladang kelapa sawit di Indonesia selepas pembeli itu gagal memenuhi obligasinya. Wang berkenaan hanya dibayar balik tahun lalu.

“Dengan kata lain, penjual (TH) membiayai pembelinya sendiri,” katanya.

Amir berkata corak berkenaan melangkaui kerugian pelaburan biasa.

“Jika anda membayar terlebih dahulu tanpa jaminan, menyerahkan saham sebelum menerima bayaran dan mengalihkan dana projek… ini tidak boleh sekadar dianggap sebagai pelaburan yang malang,” katanya.

Beliau berkata siasatan terhadap kes-kes berkenaan akan diteruskan dan mereka yang didapati bertanggungjawab akan dikenakan tindakan.

Author: admin