Pesara Singapura diculik terjerat kerja lumayan, tebusan RM3.2 juta

m kumar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata mangsa lelaki tiba dari Singapura pada 26 Julai lalu selepas dipercayai terpedaya tawaran kerja menerusi media sosial. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tawaran kerja sebagai konsultan dengan gaji lumayan menjadi jerat kepada pesara warga Singapura berusia 72 tahun apabila diculik selepas tiba di Pulau Pinang, dengan sindiket meminta wang tebusan RM3.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata mangsa lelaki tiba dari Singapura pada 26 Julai lalu selepas dipercayai terpedaya dengan tawaran kerja menerusi media sosial.

Katanya, keluarga mangsa terputus hubungan dengannya sebelum menerima pesanan suara pada 4 Ogos memaklumkan dia dikurung dan diculik. Video mangsa bergari dan bermata ditutup turut dihantar kepada keluarga.

Susulan laporan, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Jumaat lalu dan menyelamatkan mangsa dalam keadaan bergari serta bermata ditutup.

Seorang wanita warga China yang turut dikurung di rumah berkenaan turut diselamatkan.

Kumar berkata, dua suspek dipercayai warga asing ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah polis ketika serbuan, manakala enam lagi suspek ditahan, termasuk lima warga China dan seorang warga tempatan.

Katanya, keluarga pesara itu membuat tiga bayaran kira-kira RM48,000 ke akaun dikawal suspek, manakala keluarga wanita warga China berkenaan diminta membayar RM64,000.

“Sindiket dipercayai mencari mangsa menerusi WeChat dan media sosial dengan menawarkan pekerjaan atau khidmat pengiring sosial sebelum membawa mereka ke rumah untuk dikurung.

“Polis turut merampas dua pistol bersama peluru dan sebilah parang. Sindiket sama dipercayai terbabit dalam dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur,” dalam sidang media di Bukit Aman.

Kumar berkata, enam suspek direman antara 7 hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya tawaran pekerjaan daripada individu yang hanya dikenali menerusi media sosial.

Author: admin