Rundingan kerusi Melaka penting untuk kerjasama BN-PN, kata penganalisis

Dewan-undangan-negeri-melaka-dun-melaka
Barisan Nasional menguasai 21 kerusi di DUN Melaka pada 2022, manakala Perikatan Nasional memegang dua kerusi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN Melaka akan datang menjadi ujian penting terhadap kerjasama tidak rasmi antara kedua-dua gabungan itu, kata seorang penganalisis politik.

Dengan BN menyatakan hasrat untuk mempertahankan semua 21 kerusi yang ditandinginya, kegagalan mencapai kompromi boleh memberi kesan lebih luas terhadap kerjasama longgar antara kedua-dua gabungan itu, kata Mazlan Alim dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Jika mereka tidak dapat mencapai kata persetujuan mengenai rundingan kerusi di Melaka, bagaimana mereka mahu menyelesaikannya di Kelantan dan Terengganu bagi PRU-16?” katanya kepada FMT, dengan menambah BN kalah semua kerusi di Kelantan dan Terengganu pada PRU 2022.

Mazlan berkata sekiranya kedua-dua gabungan gagal mencapai titik persamaan, pengundi Melaka mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) bagi kesemua 28 DUN.

Khamis lalu, PAS tidak bimbang dengan pendirian BN untuk mempertahankan semua 21 kerusi dimenanginya pada PRN Melaka 2021, walaupun keadaan itu mungkin menyebabkan pertindihan tuntutan kerusi dengan PN.

Beliau yakin sebarang masalah pada peringkat awal boleh diselesaikan secara baik dan berkata, perkara yang penting ialah kerjasama antara BN dan PN diteruskan.

Mazlan berkata PRN Melaka akan menjadi ujian sebenar kerjasama BN-PN kerana PN akan memasuki rundingan pembahagian kerusi dengan kedudukan yang lebih kuat, memandangkan PN memegang kerusi Parlimen Jasin, Tangga Batu dan Masjid Tanah.

BN tidak memegang mana-mana kerusi Parlimen di Melaka namun memenangi 21 kerusi DUN pada PRN sebelum ini, manakala PN hanya memenangi dua kerusi melalui PAS.

Mazlan berkata PAS tidak akan melepaskan kerusi yang dimana parti itu mempunyai kedudukan yang kukuh.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan bahawa BN dan PN akhirnya akan mencapai kompromi, namun BN tetap akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya, manakala kerusi yang selebihnya akan diberikan kepada PN untuk ditandingi.

Beliau berkata tujuh kerusi sudah mencukupi untuk PN dalam sebuah negeri yang hanya mempunyai 28 kerusi DUN.

“Jadi, saya fikir kedua-dua pihak boleh mencapai titik persamaan. Lebih penting lagi, BN dan PN tahu mereka tidak mampu untuk bertanding sesama sendiri. Jika mereka berbuat demikian, PH akan menjadi pihak yang paling mendapat manfaat.”

Author: admin