
PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin DAP meramalkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertahan sehingga PRU16, malah menjangkakan persaingan menjadi lebih terbuka antara parti politik.
Bekas Adun Selangor Ronnie Liu, berkata persefahaman antara dua gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini hanyalah taktikal, selain menjadi ‘perkahwinan atas kepentingan’ yang bersifat sementara.
Liu, yang secara rasmi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, berkata petanda awal masalah BN-PN sudah dapat dilihat dalam perundingan menjelang PRN Melaka.
Beliau berkata, pergeseran antara BN-PH berpunca daripada keyakinan bahawa mereka cukup kuat bertanding lebih banyak kerusi, memandangkan komponen utamanya, Umno dan PAS, berebut asas pengundi yang sama.
“Tidak lama lagi anda akan lihat keretakan PN dan BN. Mereka akan bercerai dan kemudian membawa haluan masing-masing.
“Jadi, pada PRU16 ia akan menjadi persaingan terbuka,” katanya pada sidang media.
BN kekal sebagai sekutu utama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan persekutuan, manakala PN membentuk blok terbesar pembangkang. PRU lalu menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH menang 82 kerusi, diikuti PN (74) dan BN (30).
Minggu lalu, Presiden PBM Larry Sng meramalkan cukup untuk BN-PN menguasai kerusi di Semenanjung sahaja untuk membentuk kerajaan pusat pada PRU16, sekiranya pakatan mereka kekal utuh.
PBM mampu lebih baik berbanding Muda, Bersama
Dalam perkembangan berasingan, Sng menyuarakan keyakinan PBM mampu mengatasi prestasi parti kecil lain, seperti Muda dan Bersama, serta menang beberapa kerusi negeri dan Parlimen pada pilihan raya akan datang.
“Saya percaya PBM akan lebih baik. Kita akan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Bersama, lebih baik daripada Muda, dan lebih baik daripada parti kecil lain,” kata Ahli Parlimen Julau itu, yang juga wakil rakyat tunggal PBM.
Bekas ketua PKR Sarawak itu, berkata asas sokongan PBM di Borneo kekal utuh di bawah kepimpinnanya dan selaku Ahli Parlimen tunggal parti.
Namun, beliau mengakui usaha membina kehadiran sama di Semenanjung akan mengambil masa.
Sng berkata, PBM belum memutuskan untuk memasuki PRN di Semenanjung, namun parti itu terbuka meneroka persefahaman atau pakatan pilihan raya berpotensi dengan blok lain, termasuk pada PRU16.
Beliau turut meramalkan PRU16 hanya akan diadakan selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA, yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 Sept tahun hadapan.
