
PETALING JAYA: Bekas pembantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengkritik tindakan Presiden PAS Hadi Awang melabel DAP sebagai musuh Islam, memberi amaran bahawa ia menjerumuskan negara ke arah landasan yang tidak sihat.
Marzuki Mohamad berkata, tautan semula hubungan antara Umno dan PAS telah menyebabkan kedua-dua seteru tradisi itu ‘mencipta’ musuh bersama, iaitu DAP, langkah yang menurutnya perlu untuk mengekalkan pakatan yang baru dihidupkan semula dan meraih sokongan orang Melayu.
“Walaupun kritikan politik terhadap DAP adalah wajar, malah sesuatu yang saya juga sering lakukan, namun memomokkan parti itu dan penyokongnya sebagai musuh Islam adalah satu taktik peningkatan ketegangan yang berbahaya.
“Tindakan sedemikian juga secara tidak sengaja mengkategorikan kira-kira 75% daripada populasi bukan Islam di negara ini sebagai musuh Islam. Trajektori ini amat tidak sihat untuk negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Hadi mendakwa DAP sedang menerajui Pakatan Harapan (PH) dalam ‘meneruskan kerja penjajah untuk menghancurkan Melayu-Islam’, membangkitkan gesaan parti itu antara lainnya untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan serta visi ‘Malaysian Malaysia’ mereka.
Kenyataan ini dibidas oleh pemimpin-pemimpin DAP dan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu, yang mencabar Hadi untuk mengheret DAP ke mahkamah jika ada bukti bagi menyokong dakwaannya.
Menurut Marzuki, Umno dan PAS, dua parti Melayu-Islam terbesar di negara ini, terlibat dalam ‘perlumbaan Islamisasi’ yang sengit pada 1970an dan 1980an.
Dalam tempoh inilah, katanya, Hadi menyampaikan ucapannya yang mencetuskan kontroversi, melabel ahli Umno sebagai ‘kafir’ dan menyifatkan perjuangan menentang parti tonggak Barisan Nasional (BN) itu sebagai ‘jihad’.
“Perlumbaan ideologi ini reda pada akhir 1990an apabila PAS membentuk pakatan bersama PKR dan DAP, sebuah parti sekular yang majoritinya bukan Islam, untuk mencabar hegemoni Umno dan BN.
“Akibatnya, wacana politik berubah sepanjang 2000an dengan memfokuskan kepada tadbir urus, rasuah, kebajikan awam, dan prestasi ekonomi.
“Hari ini, kedua-dua bekas musuh ketat ini membentuk semula diri mereka sebagai ‘seteru bersahabat’ di bawah panji perpaduan Melayu-Islam,” kata Marzuki, merujuk kepada Umno dan PAS.
