3 sekeluarga cedera dihempap pokok tumbang

bomba pokok tumbang
Pokok tumbang menghalang keseluruhan Jalan Macalister di Pulau Pinang sebelum ia dibersihkan.

PETALING JAYA: Pasangan warga emas bersama cucu cedera selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Macalister, di George Town.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi tadi dengan lapan anggota dari Balai Bomba Jalan Perak digegaskan.

“Tiga mangsa yang terperangkap dalam kereta itu berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba bersama pasukan pihak berkuasa tempatan melaksanakan operasi pemotongan dan pembersihan sisa pokok tumbang bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying yang juga timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata berdasarkan maklumat setakat ini, tiga dilaporkan cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lim berkata, pasukannya juga sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut, serta memberikan bantuan yang diperlukan.

“Semoga semua mangsa berada dalam keadaan selamat, orang ramai yang melalui kawasan tersebut juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan lalu lintas di lokasi kejadian,” katanya dalam catatan di Facebook.

Author: admin