Izzah cuti tak jejas operasi PKR, kata Fahmi

pkr
Operasi PKR tidak terjejas apabila Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar bercuti, kata Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada jawatan timbalan presiden PKR tidak menjejaskan operasi dan fungsi parti, sebaliknya gerak kerja organisasi tetap diteruskan seperti biasa.

Ketua Penerangan Fahmi Fadzil berkata Naib Presiden Saifuddin Nasution Ismail telah diberi mandat untuk menggalas sementara tanggungjawab serta fungsi jawatan berkenaan.

Beliau berkata majlis pimpinan pusat (MPP) tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah, sebaliknya hanya membenarkan permohonan beliau untuk bercuti bagi memberikan tumpuan kepada urusan peribadi, serta melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

“Nurul Izzah kekal sebagai anggota parti dan akan terus membantu parti dalam perjuangan,” katanya, yang juga menteri komunikasi, pada sidang media selepas merasmikan konvensyen PIBG Internet Selamat peringkat Kuala Lumpur.

Mengenai spekulasi Wong Chen bakal mengosongkan kerusi Parlimen Subang, Fahmi menegaskan beliau setakat ini tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu dan ia tertakluk kepada pengumuman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Terdahulu, media melaporkan Chen ada menyatakan hasrat untuk meletak jawatan ketika pertemuan dengan Johari semalam, dengan wakil rakyat itu dijangka mengumumkan keputusannya pada Isnin.

Menyentuh desas-desus PRU bakal diadakan lebih awal, Fahmi menjelaskan tiada sebarang perancangan sedemikian buat masa ini, dan kerajaan menjangkakan PRU hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung tahun depan.

Beliau berkata tumpuan kerajaan persekutuan ketika ini adalah untuk memastikan kelancaran pentadbiran, selain menghargai komitmen rakan komponen kerajaan perpaduan yang terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

Author: admin